Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MEMANG KEHADIRAN TIDAK MENCAPAI SASARAN, TETAPI…..

Berapa sebenarnya yang hadir dalam Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi malam tadi?
5 ribu? 10 ribu? 25 ribu? 50 ribu?
Atau matlamat 100 ribu dicapai dengan jayanya?
Ramai yang nampaknya memperlekeh jumlah kehadiran dalam perhimpunan malam tadi. Ada yang mengatakan ia sebuah perhimpunan yang gagal dan ada juga yang membandingkannya dengan jumlah kehadiran di Himpunan Fastaqim di Terengganu, baru-baru ini.
Memang diakui jumlah kehadiran tidak begitu mencapai matlamat yang disasarkan. Ada beberapa sebab yang menyumbang ke arah itu, antaranya kerana semalam bermulanya cuti sekolah sempena Deepavali di mana ramai yang balik kampung atau pergi bercuti,  ada perlawanan bolasepak EPL antara Manchester United menentang Liverpool serta beberapa sebab yang lain lagi.
Tetapi, sebab paling utama mengapa kehadiran tidak begitu memberangsangkan ialah kerana rata-rata rakyat sudah ada pilihan untuk tidak mengundi BN dalam pilihanraya umum datang ini.
Tidak seperti banyak perhimpunan sebelum ini, berlangsungnya Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi kali ini adalah di tengah-tengah rakyat sudah cukup faham dan masak mengenai skandal 1MDB, cukai GST yang membebankan, buruknya kepimpinan Najib Razak dengan pelbagai isu, pembaziran dan kemewahan Rosmah, skandal Felda dan macam-macam lagi yang menyusah dan menyakitkan hati mereka.
Oleh kerana rakyat sudah betul-betul faham dan masak dengan apa berlaku serta telah menetapkan pilihan untuk “membuang”  Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya yang bakal diadakan hanya beberapa bulan saja lagi, maka untuk apa mereka perlu bersusah-payah untuk menunjuk-nunjuk pendirian secara terbuka?
Ramai rakan-rakan dan mereka yang ditemui dalam seminggu dua sebelum berlangsungnya perhimpunan ini mengatakan, bukan mereka tidak mahu hadir, tetapi ketetapan pilihan tidak mungkin berubah lagi.
Tidak hadir berhimpun pun, kata mereka, undi tetap kepada Pakatan Harapan.
Majoriti rakyat sedar mengekalkan lagi Najib, UMNO dan BN hanyalah mengundang malapetaka secara sengaja atau seperti memasukkan ular sawa untuk menjaga keselamatan sereban ayam.
Selain itu, perhimpunan malam tadi juga berlangsung agak lama iaitu bermula jam 4 petang hingga 12 malam. Mungkin ada yang datang petang dan kemudian balik dan ada juga yang hanya hadir pada sebelah malam saja.
Kapasiti padang dianggarkan boleh memuatkan kira-kira 40 ribu dalam satu-satu masa. Ketika kemuncak himpunan, jelas dapat dilihat lebih separuh daripada padang penuh dengan orangramai.
Adalah tepat bahawa anggaran kehadiran ketika kemuncak ialah 25 ribu atau lebih. Jika dicampur dengan mereka yang hadir pada sebelah petang dan kemudian balik serta yang bersepah-sepah di sekeliling padang, jumlah munasabah yang hadir adalah tentunya antara 40 ribu atau lebih daripada itu.
Himpunan malam tadi juga tidak seperti Himpunan Fastaqim di mana ada kerahan untuk hadir bagi menunjukkan kekuatan kerana Pas sedang lemah lantaran bersekongkol dengan kleptokrasi, sebaliknya Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi adalah sekadar mengekalkan momentum dan persiapan untuk mengambil alih kerajaan.
Yang tidak kurang mustahaknya, perhimpunan malam tadi juga seperti mendapat keredhaan Tuhan dengan cuaca yang cukup baik, walaupun beberapa hari sebelumnya hujan tidak berhenti-henti dan dengan demikian tiada kejadian dipanah petir, khemah tumbang dan sebagainya telah berlaku.
Yang tidak hadir, mereka  malah dapat menontonnya secara “livestream” melalui media sosial dan sebagainya. Pendeknya, sokongan kepada Pakatan Harapan langsung tidak berkurangan berbanding sebelum atau selepas perhimpunan berkenaan.
Meskipun boleh dikata kehadiran tidak menepati sasaran, tetapi Najib, UMNO dan BN tetap belum berani mendabik dada mereka akan mencapai kemenangan atau sekurang-kurangnya Selangor dapat ditawan kembali hanya berdasarkan kurangnya sambutan malam tadi.
Sebab apa?
Sebabnya tidak lain kerana Najib, UMNO dan BN sendiri sedar bahawa majoriti rakyat sudah pun ada pilihan dalam hati masing-masing ketika ini. Rakyat tidak perlu lagi terus mendengar ucapan dan hujah Tun Mahathir, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu atau yang lain-lain untuk membuatkan mereka sedar apa pilihan yang harus dibuat.
Pilihan sudah ada dalam hati rakyat, tersemat erat dan tidak mungkin berubah lagi – undi Pakatan Harapan dan tolak BN.
Ramai atau tidak yang hadir dalam perhimpunan malam tadi,  sasaran dicapai atau sebaliknya, ia langsung tidak mengubah pilihan yang sudah ada dalam hati rakyat.
Seperti kata Tun Mahathir dalam ucapannya malam tadi,  Najib dengan pelbagai karenah dan kelakuannya sejak lapan tahun lalu,  sudah menjadi musuh kepada negara sekarang ini.
Apakah rakyat “tidak berakal” atau masih tidak boleh berfikir untuk terus memilih musuh kepada negara bagi memimpin mereka lagi?
Dan berserta azam untuk menyelesaikan kerjanya bagi menyingkirkan Najib, Tun Mahathir juga menambah satu lagi cahaya harapan buat masa depan rakyat sepertimana terserlah kejayaan beliau mengubah Malaysia daripada negara pertanian kepada perindustrian yang berdaya maju dan disegani dunia sebelum ini. (ShahbudinHusin 15/10/2017)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

297 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
297
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x