Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB SENDIRI MEMBUKTIKAN LAWATANNYA KE AMERIKA GAGAL

Sebaik tiba di KLIA dengan disambut oleh sekitar 1000 penyokongnya malam tadi, tanpa membuang banyak masa, perkara pertama yang terpaksa Najib Razak lakukan ialah menyerang Tun Mahathir Mohamad dan menghuraikan beberapa isu berhubung lawatannya ke Amerika Syarikat.
Antara yang disebut Najib ialah beliau bukan pergi ke sana untuk meminta sedekah, mengenai pembelian pesawat Boeing yang disebutnya sendiri untuk membantu memperkukuh ekonomi Amerika dan menghentam Tun Mahathir yang didakwanya juga pernah membayar pelobi ketika mahu bertemu dengan Presiden Bush suatu ketika dahulu.
Mungkin benar Najib tidak meminta sedekah, tetapi lupakah beliau mengenai beberapa cadangannya untuk menperkukuh ekonomi Amerika yang secara keseluruhannya bernilai RM100 bilion, tidak lebih umpama sedekah daripada orang miskin kepada orang kaya?
Adakah mana-mana pemimpin dunia membangun lain yang datang ke Amerika pernah mengatakan mereka mahu memperkukuh ekonomi negara kuasa besar itu?
Tanyalah diri sendiri wahai Perdana Menteri, kenapa sampai terlebih ghairah sedemikian rupa terhadap Amerika dan ketika bertemu Trump?
Apa udang besar yang ada di sebalik mee yang cuba dihidangkan?
Dalam mengatakan Tun Mahathir membayar pelobi untuk bertemu Presiden Bush, tidak sedarkah Najib bahawa sehingga sekarang beliau masih tidak menjawab mengenai kewujudan seorang wanita, Florence Goh yang didakwa mewakili Pejabat Perdana Menteri dan didapati membayar RM1.125 juta kepada pelobi yang merupakan bekas pembantu Trump?
Jika dicampur bayaran RM1.125 juta itu dengan cadangan memperkukuh ekonomi yang dianggarkan bernilai RM100 bilion yang dijanjikannya sendiri, siapakah yang lebih banyak menabur janji “cash is king”  kepada Amerika?
Yang jelasnya, dengan tindakan yang agak terburu-buru melakukan serangan terhadap Tun Mahathir, Najib dengan sendirinya membuktikan kegagalan lawatannya itu yang rata-rata lebih menimbulkan cemuhan dan kebimbangan berbanding pujian.
Hampir segenap lapisan masyarakat, kecuali pembodek dan pengampu atau mereka yang mengharapkan dedak dua tiga sudu, yang terlihat cuba menggambarkan kunjungan ke Amerika dan pakej memperkukuh ekonomi yang dicadangkan Najib, sebagai sesuatu yang baik, rasional dan wajar.
Selebihnya mengatakan ia suatu gambaran beliau gagal menjaga kepentingan rakyat sendiri.
Lebih tergambar gagalnya lawatan itu ialah apabila Ketua Setiausaha Negara, Irwan Siregar Abdullah turut menafikan cadangan yang dikemukakan  Najib adalah bertujuan untuk membantu ekonomi Amerika.
Hello bro…sekarang ini zaman langit terbuka dan semua orang boleh menonton dengan mudah video ucapan Najib ketika bercakap dengan Trump berhubung perkara itu.
Apakah maksud selain membantu atau menolong dengan kata-kata Najib yang jelas menyebut, “we want to help you in terms of strenghthening US economy” di depan Trump?
Nak tipu siapa?
Kenapa di Amerika dengan gah berkata mahu membantu, tapi di Malaysia menafikannya pula?
Selain itu, Ahmad Maslan yang dulunya pernah menjanjikan cukai GST akan menurunkan harga barang, tiba-tiba juga bersuara dengan mengatakan melalui lawatan Najib ke Amerika, khususnya berhubung pelaburan oleh KWSP dan Khazanah, ia membuktikan syarikat-syarikat Malaysia sudah mampu melabur di luar negara.
Alahai kemetotnya hujah….
Apakah Ahmad Maslan lupa, ketika era Tun Mahathir dahulu dan waktu itu beliau masih bekerja di BTN dan kemudian sebagai Setiausaha Politik kepada Mustapa Mohamed, sudah banyak syarikat Malaysia dibawa ke luar negara dan melakukan pelaburan?
Tetapi pernahkah ketika itu, di samping syarikat-syarikat Malaysia dibawa melakukan pelaburan, Tun Mahathir mahu mengukuhkan ekonomi Amerika?
Bukankah dalam konteks Amerika yang merupakan kuasa ekonomi dunia dan saiznya lebih besar berbanding kita, sepatutnya pelaburan daripada negara tersebut yang dibawa masuk ke Malaysia, bukannya kita yang menawarkan pembangunan prasarana untuk mereka?
Mat Oh Mat…labur ke lebur?
Untuk hari-hari seterusnya, Najib pasti akan meluangkan lebih banyak masa untuk menghuraikan curahan dana RM100 bilion ke Amerika, terutama dengan menggunakan dana pekerja, bukannya syarikat-syarikat korporat atau swasta serta menghentam Tun Mahathir dalam pelbagai ucapan dan penggunaan media arus perdana yang tidak lagi perdana pembaca serta penontonnya.
Ia akhirnya  memperlihatkan lawatannya ke Amerika telah gagal dan disedari tidak diterima oleh rakyat Malaysia yang semakin pintar, bijaksana dan semakin ramai pula yang ada telefon pintar dalam genggaman, meskipun RM100 bilion telah ditawarkan sebagai cagarannya.
Yang tidak kurang menimbulkan resah juga buat Najib  ialah kerana sebelum bertemunya beliau dengan Trump, pentadbiran Amerika awal-awal lagi telah menyatakan siasatan DOJ berkaitan pelanun-pelanun 1MDB akan tetap diteruskan seperti biasa.
Malah, mahkamah di Amerika semalam sudah pun setuju membenarkan permohonan DOJ untuk menangguhkan saman sivilnya bagi memberi laluan kepada siasatan jenayah dijalankan terlebih dahulu.
Sama-samalah kita tunggu pula siapa yang kena? (ShahbudinHusin 16/09/2017)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

239 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
239
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x