Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

ADAKAH KERANA SIBUK NAK PERKUKUH EKONOMI AMERIKA, NAJIB TERLUPA TENTANG ROHINGYA?

Beberapa hari sebelum Najib Razak berlepas ke Amerika, kebetulan isu Rohingya kembali meletus menjadi bualan dunia, riuh dinyanyikan kononnya perkara itu adalah antara perkara yang akan dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan Donald Trump.

Selain Zahid Hamidi yang mahu Najib membangkitkan isu tersebut kepada Trump (ehh, macam Zahid pulak jadi Perdana Menteri dan beri arahan kepada Najib), seorang timbalan menteri dengan gaya bodek dan ampunya mengatakan penindasan dan pembunuhan Rohingya akan menjadi agenda besar dalam pertemuan antara Perdana Menteri dengan Presiden Amerika itu.

Gambaran yang cuba ditonjolkan ialah seolah-olah Najib adalah pejuang Islam sejagat dan bertemunya beliau dengan negara kuasa besar dan polis dunia itu bukanlah semata-mata untuk dirinya dan Malaysia saja, sebaliknya turut membawa sama isu kemanusiaan demi kepentingan dunia.

Tapi, apa jadi akhirnya?

Ada Najib membangkitkan isu Rohingya dalam pertemuannya dengan Trump?

Berdasarkan rakaman video dan berita-berita daripada seluruh dunia berhubung pertemuan Najib – Trump, termasuk daripada portal pengampu dan berbayar yang semata-mata menjaga kepentingan Najib, UMNO dan BN, tidak tertulis atau terdengar satu perkataan pun tentang Rohingya telah dibangkitkan secara terbuka oleh beliau.
Begitu juga, tiada sebarang respon balas daripada Trump mengenai Rohingya yang dilakukan secara terbuka dalam pertemuannya dengan delegasi Malaysia.
Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, dalam ulasanya mengenai pertemuan Najib dengan Trump, turut membidas kerana isu Rohingya tidak langsung disentuh oleh Perdana Menteri.

Kenapa jadi demikian?

Apakah kerana Najib terlalu sibuk dengan idea-idea untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika, yang dilihat banyak pihak umpama ular lidi mahu menyuapkan makanan kepada ular sawa atau seperti penghuni rumah setinggan cuba menawarkan bantuan kewangan kepada orang kaya yang tinggal di banglo, maka beliau terlupa kepada nasib umat Islam Rohingya?

Berbanding isu Rohingya yang ditindas dan dibunuh kejam, apakah terlalu penting bagi Najib untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika yang jauh lebih besar dan sudah sedia kaya itu?

Jika dilihat daripada bahasa tubuh melalui rakaman video pula, ketika Najib mengumumkan tawaran untuk membantu mengukuhkan ekonomi Amerika itu,  Trump lantas dilihat menegakkan badan dan memeluk tubuhnya secara tiba-tiba.

Apa isyaratnya?

Agaknya dalam fikirannya berkata, biar betul mamat ni datang jumpa aku nak pulihkan ekonomi Amerika!!

Mungkinkah juga ketika itu beliau sedang menahan dirinya daripada ketawa berdekah-dekah dengan kelucuan yang dianggapnya melebihi sketsa Maharaja Lawak?

Atau barangkali Najib sengaja tidak mahu membangkitkan isu Rohingya kerana diketahuinya Trump adalah pemimpin Amerika paling anti Islam dan kempen-kempen pilihanrayanya dulu banyak dipenuhi dengan keinginan untuk menjadikan Amerika hanya untuk orang Amerika dan menyekat kemasukan orang Islam?
Dalam keadaan demikian, Najib sudah tentu hanya akan berkata sesuatu yang mengikut selera dan diketahuinya disukai  Trump serta sama-sekali tidak akan menyentuh perkara lain yang tidak digemari oleh pemimpin kuasa dunia itu.
Lalu, tertipulah mereka yang meletakkan harapan tinggi kepada Najib kerana pada hakikatnya beliau sendiri masih bergelut untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai kemelut dan skandal yang bukan lagi rahsia.

Bagaimanakah orang yang nasib dirnya sendiri pun tidak menentu, mahu memperjuangkan nasib orang lain? 

Sudah pasti, keutamaan tentang dirinya adalah perkara pokok yang akan didahulukan melebihi perkara-perkara lain.
Dalam konteks tindakan DOJ terhadap pelanun-pelanun 1MDB, keutamaan Najib hanyalah cuba untuk membeli jiwa Amerika. 
Tawaran untuk mengukuhkan ekonomi Amerika, di sebalik di Malaysia sendiri ramai yang tiada pekerjaan dan projek-projek prasarana masih tidak sempurna, membeli jiwa Amerika itulah tujuan dan matlamatnya.

Itulah Najib sebenarnya!! (ShahbudinHusin 14/09/2017)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

87 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
87
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x