Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DI SEBALIK SEJARAHNYA CUBA DIPADAM, NAJIB SENDIRI TAK MAMPU MELUPAKAN TUN MAHATHIR

Kebelakangan ini terdapat kecenderungan yang semakin ketara di pihak UMNO dan kerajaan untuk memadam sejarah berkaitan bekas Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad. 
Diberitakan dan menjadi heboh diperkatakan bahawa antara yang berlaku ialah di buku teks, di galeri pameran, ketika sambutan kemerdekaan dan di latar belakang siaran berita sebuah stesen televisyen.
Jika teks sejarahnya tidak dipadamkan, gambar beliau atau bangunan yang menjadi ikon ketika pentadbirannya selama 22 tahun akan dihilangkan.
Semua itu dilakukan tidak lain adalah bertujuan agar rakyat melupakan Tun Mahathir atau tujuannya yang lebih sadis ialah untuk menggambarkan Tun Mahathir tidak pernah melakukan apa-apa untuk negara ini.
Segala-galanya bagi golongan pengampu, penjual propaganda dan penagih dedak ialah untuk menonjolkan Najib jauh lebih baik,  jauh lebih lebih hebat berbandingTun Mahathir dan satu-satunya peneraju unggul dalam membangunkan Malaysia.
Soalnya, dapatkah sejarah Tun Mahathir dipadamkan?
Tidak dipastikan sama ada segala usaha tersebut dalam pengetahuan dan mendapat restu Najib atau sebaliknya. Jika ia semata-mata usaha golongan pengampu, penjual propaganda dan penagih dedak, tindakan cuba memadam sejarah Tun Mahathir sebenarnya adalah kerja bodoh dan sia-sia.
Tidak perlu disenaraikan satu persatu, harus diakui jasa dan sumbangan Tun Mahathir terlalu besar untuk negara ini. Malah, lagi cuba dipadam, lagi segar ingatan rakyat terhadap segala sumbangannya.
Bagaimana rakyat boleh lupa jasa Tun Mahathir ketika mereka memandu selesa di Lebihraya Utara-Selatan, ketika terpandang KLCC dan Menara Kuala Lumpur yang indah, ketika megah berada di KLIA yang bertaraf dunia atau ketika berurusan dengan pejabat kerajaan di Putrajaya?
Dalam semua urusan kehidupan rakyat Malaysia ketika ini, mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur bahawa sebahagian daripadanya adalah atas usaha dan idea Tun Mahathir.
Bolehkah sesiapa pura-pura melupakannya?
Sekiranya usaha memadam sejarah Tun Mahathir itu dalam pengetahuan dan direstui oleh Najib, terbukti juga bahawa Perdana Menteri sendiri tidak jujur mengenainya.
Dalam banyak ucapan dan ulasan, sama ada berkaitan politik, pembangunan negara atau pengangkutan awam yang dibuat oleh Najib, beliau sendiri sebenarnya tidak dapat melupakan Tun Mahathir. 
Terlalu kerap dan acapkali beliau cuba membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir yang secara langsung menggambarkan bayangan sejarah serta jasa bekas Perdana Menteri itu sukar dilupakannya.
Bahkan, semalam pun Najib masih teringat-ingat akan Tun Mahathir apabila menyindir bekas Perdana Menteri itu yang sepatutnya sudah bersara, tetapi memilih untuk aktif semula.
Meneliti semua itu, sudah tentu juga ketika Najib berada di kediaman rasmi Seri Perdana atau berada di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, beliau turut selalu terbayang-bayang wajah Tun Mahathir yang memberi keselesaan kepadanya untuk tinggal bersama keluarga dan melakukan kerja sebagai Perdana Menteri.
Bayangkan jika tiada semua itu, apakah Najib selesa bekerja di bangunan  usang di Jabatan Perdana Menteri di Jalan Dato’ Onn atau beliau dan Rosmah dapat tidur nyenyak di Seri Perdana lama di Jalan Terengganu, Bukit Persekutuan yang kini sudah dijadikan Galeri Seri Perdana?
Jika Najib sendiri pun selalu teringat-ingat dan tidak dapat membuang sejarah Tun Mahathir daripada kotak pemikirannya, bagaimanakah beliau mahu rakyat melupakannya?
Dalam hal ini, pepatah ada menyebut – harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Sama ada baik atau buruk perlakuan seseorang itu, ia tetap akan diingati sampai bila-bila. Jika baik, harumlah nama yang menjadi ingatan. Sekiranya buruk, hitam dan busuknya nama yang ditinggalkan.
Semua bekas Perdana Menteri ada nama dan sejarah tersendiri yang tidak boleh dipadamkan. Tun Mahathir, meski bagaimana cuba dipadam atau dihitamkan gambaran kecemerlangan yang pernah dilakukannya, ia mustahil dapat dilakukan selagi tinggalannya kekal menjadi santapan mata dan keselesaan rakyat jelata.
Sebab itu, Tun Mahathir tidak pernah cuba memadam sejarah mana-mana bekas Perdana Menteri sebelumnya. Meskipun semua orang tahu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj bermusuh dengannya, Tun Mahathir tetap mahu rakyat Malaysia mengingati segala sumbangan Bapa Kemerdekaan itu dengan misalnya melalui pemberian nama Pusat Dagangan Dunia Putra dan Univiversiti Putra Malaysia.
Sama juga dengan Najib, selepas ini sejarahnya yang antara lain berkaitan kemewahan, pembaziran, penerima derma terbanyak dalam rekod dunia iaitu RM2,600 juta dan menjadikan Jho Low bilionnaire dalam sekelip mata, turut akan menjadi ingatan dan kenangan zaman berzaman oleh kita semua. (ShahbudinHusin 05/09/2017)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

167 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
167
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x