Ramai yang agak skeptikal dengan kenyataan Peguam Negara, Apandi Ali bahawa beliau hanya takutkan Allah dan tiada apa yang disembunyikannya berhubung skandal 1MDB.
Kata mereka, siapa pun boleh bercakap tentang takutkan Allah, tetapi akhirnya kata-kata itu sama ada benar atau tidak, terzahir melalui perbuatan atau tindakan.
Kadangkala penjahat pun selalu berkata takutkan Allah, tambah mereka lagi.
Hakikatnya, sama ada seseorang itu takutkan Allah atau sebaliknya, tidak cukup sekadar kata-kata, tetapi mesti dibuktikan melalui tindakan atau perbuatannya.
Susulan kenyataan Apandi yang mengatakan beliau hanya takut kepada Allah itu, peguam Gobind Singh Deo tampil dengan cabaran mudah iaitu agar Apandi berani mendedahkan jejak wang RM2,600 juta yang diterima Najib Razak.
Kata beliau, daripada mengatatakan tidak takut Allah, Apandi perlu meyakinkan rakyat Malaysia dengan fakta yang menunjukkan Najib benar-benar tidak terlibat dalam skandal berkaitan dana 1MDB.
Apa yang susahnya untuk buat begitu? Apandi patut berani menyahut cabaran ini kerana dia kata dia tak buat salah, tiada apa yang disembunyikan dan hanya takut kepada Tuhan, tegas Gobind lagi.
Sekadar imbasan semula, laporan DOJ mendapati wang AS$731 juta keseluruhannya, termasuk AS$681 juta yang mengalir masuk ke akaun peribadi “Malaysian Official 1” adalah berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan.
Meskipun tidak dinamakan siapa “Malaysian Official 1” itu, tetapi Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Komunikasi Strategik BN secara jelas mengatakan MO1 adalah Najib dan hanya orang bodoh tidak memahami fakta tersebut.
Dalam perbicaraan di mahkamah Singapura pula, berdasarkan pengakuan Pengurus Falcon Bank, Jens Fred Sturzeneger, sudah menjadi fakta bahawa Tanore Finance Corporation yang didapati memasukkan wang tersebut ke akaun peribadi Najib itu adalah milik Eric Tan Kim Long.
Beliau juga mengesahkan bahawa Eric Tan adalah orang yang sama dengan Jho Low di mana hanya Jho Low yang berurusan dengannya berkaitan dana 1MDB sambil jutawan playboy itu mengakui sesekali menggunakan nama Eric Tan bagi tujuan keselamatan.
Sama seperti dapatan FBI di Amerika, fakta di mahkamah Singapura secara sahih mendapati tiada Pak Arab yang terlibat dalam menyalurkan derma beribu-ribu juta kepada Najib.
Apa macam Apandi, ada berani dengan cabaran Gobind yang bukan pun beragama Islam itu?
Masihkah takutkan Allah atau mula terfikir ada yang lebih ditakuti untuk menyahut cabaran mudah tersebut? (ShahbudinHusin 19/07/2017)