Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APA PULA DOA "JEMAAH HAJI 1MDB" KEPADA MEREKA YANG DURJANA?

Dalam majlis menyerahkan surat tawaran menunaikan haji tajaan Yayasan 1MDB kepada 1,100 penerimanya, Najib Razak meminta mereka agar berdoa kepimpinan yang ada terus dikekalkan supaya program-program kebajikan sapat diteruskan.

Kata beliau, usaha 1MDB, dengan sebahagian daripada keuntungannya digunakan untuk membangunkan masyarakat tidak boleh dibiarkan musnah disebabkan andaian individu yang disifatkannya sebagai “tidak boleh pakai sama sekali”.

“Sebab itu, apabila orang kritik 1MDB, kita sebagai pemimpin masyarakat mesti faham.

“Saya harap mereka yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat dikekalkan untuk kesinambungan program kebajikan yang dilaksanakan kerajaan”  katanya  sebagaimana dipetik dari laporan Bernama.

Ohhh, rupa-rupanya tajaan haji yang diberikan oleh Yayasan 1MDB  perlu dibalas dengan doa agar kepimpinan sedia ada terus kekal berkuasa.

Adakah doa mengekalkan kepimpinan yang ada saja perlu dilakukan oleh jemaah haji tajaan 1MDB?

Bagaimana dengan kehilangan wang berbilion-bilion ringgit yang didakwa berlaku melalui 1MDB, ada kemasukan wang ke dalam akuan peribadi, ada yang dapat hadiah barang kemas juta-juta banyaknya, ada yang beli jet, hotel, lukisan, buat filem separa lucah, apartment mewah, berjoli sakan di kasino dan sebagainya lagi?

Ada juga yang dipecat, disingkir, dibuang kerja, dianiaya dan dipenjara kerana mendedahkan atau bertanya soalan tentang1MDB.

Tidak mahukah diminta jemaah haji tajaan 1MDB berdoa sama agar kebenaran ditunjukkan, penganiayaan diberi balasan dan pendurjana diberi hukuman sewajarnya oleh Tuhan? (ShahbudinHusin 11/07/2017)

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

238 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
238
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x