Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

ZAKARIA ENGGAN TERIMA, BAHKAN HANTAR KEMBALI SURAT TUNJUK SEBAB FGV KEPADA SETIAUSAHA SYARIKAT?

Ceo Felda Global Ventures, Zakaria Arshad dikatakan enggan menerima surat tunjuk sebab yang dihantar ke rumahnya dan kemudian bertindak memulangkan kembali surat berkenaan kepada pihak setiausaha syarikat.
Sumber-sumber memberitahu, wakil Lembaga Pengarah FGV bersama setiausaha syarikat telah berkunjung ke rumah Zakaria untuk menyampaikan surat tunjuk sebab itu pada Selasa, 13 Jun lalu sebagaimana yang diarahkan.
Mereka dibenarkan masuk ke dalam rumah, bertemu dan berbual-bual dengan Zakaria,  tetapi beliau enggan menerima surat tunjuk sebab itu meskipun sudah diberi penerangan mengenainya.
Surat itu kemudian ditinggalkan di atas sofa di rumahnya.
Bagaimanapun, melalui wakilnya, beberapa jam kemudian Zakaria bertindak memulangkan surat tersebut kepada setiausaha syarikat sebagai tanda mutlak enggan menerimanya.
Tindakan itu secara langsung memberi gambaran bahawa Zakaria tidak akan menjawab segala pertuduhan yang dihadapkan kepadanya sebagaimana yang terkandung dalam surat tunjuk sebab tersebut.
Beliau diberi tempoh 7 hari untuk menjawab secara bertulis surat tunjuk sebab yang diputuskan oleh Lembaga Pengarah FGV terhadapnya.
Namun demikian, sebagai tanda surat tunjuk sebab itu berjaya dihantar kepada Zakaria, wakil Lembaga Pengarah dan setiausaha syarikat itu kemudian membuat akuan bersumpah sebagai bukti mereka sudah melaksanakan arahan menyerahkan surat tunjuk sebab berkenaan.
Tiga individu lain selain Zakaria yang turut diberikan surat tunjuk sebab iaitu Ahmad Tifli Mohd Talha, Kamarzaman Abdul Karim dan Ahmad Salman Omar, pada mulanya juga difahamkan enggan menerima surat yang cuba diserahkan kepada mereka, tetapi setelah diberi penerangan, terutama berkaitan aspek undang-undang, mereka akhirnya setuju menerimanya.
Dengan itu, mereka mungkin akan memberikan jawapan secara bertulis kepada Lembaga Pengarah FGV berhubung segala pertuduhan dalam surat tunjuk sebab itu.
Tetapi, apa jadi jika Zakaria tidak menjawab surat tunjuk sebab itu?
Dalam tindakan susulan berkaitan perkara itu, Lembaga Pengarah FGV seterusnya telah mewujudkan satu panel khas yang dianggotai empat orang untuk memanggil dan mendengar sendiri penjelasan Zakaria jika selepas tempoh 7 hari itu jawapan bertulis daripadanya tidak juga diterima.
Selepas menjawab secara bertulis, adakah Zakaria sedia berdepan dengan panel khas itu untuk menjawab segala pertuduhan yang dihadapkan kepadanya?
Jika tidak hadir juga mengadap panel khas, apakah tindakan seterusnya yang bakal dikenakan kepada Zakaria?
Adakah beliau akan dipecat terus daripada jawatannya?
Adakah, selepas itu, kes salah lakunya sebagaimana yang terkandung dalam pertuduhan surat tunjuk itu akan dipanjangkan lagi kepada SPRM? 

Atau adakah Zakaria, sebagaimana pernah disebutnya sebelum ini, beliau lebih mahu membawa kesnya ke mahkamah untuk menuntut keadilan? (ShahbudinHusin 15/06/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

92 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
92
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x