Semakin hari semakin banyak desakan agar Najib Razak tampil menjelaskan mengenai bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada akaun bank peribadinya kepada peguam Shafee Abdullah yang dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat 2 membabitkan Anwar Ibrahim.
Selain kenyataan demi kenyataan oleh pemimpin politik, laporan polis mengenai perkara itu turut bertambah hari demi hari.
Malangnya, sementara Najib sebagai pemberi dan Shafee sebagai penerima terus diam membisu, agensi-agensi penguatkuasa seperti polis, SPRM, Bank Negara dan LHDN pun turut membisu sama.
Bagi Najib, jika dakwaan Sarawak Report itu tidak benar dan palsu, mengapa setelah menjangkau hari kelima sejak pendedahan itu dibuat, beliau masih lagi mendiamkan diri sedangkan ia hanya memerlukan jawapan mudah “ya” atau “tidak” saja daripadanya?
Bagi Shafee pula, sebagai peguam kanan yang terkenal, kenapa beliau masih senyap tanpa sebarang reaksi sedangkan lebih senang baginya mengeluarkan surat saman jika didapati dakwaan Sarawak Report itu tidak benar atau berupa fitnah semata-mata?
Bagi Bank Negara, adakah mereka tahu mengenai pembayaran yang dibuat daripada akaun peribadi Najib kepada Shafee pada September 2013 dan Februari 2014 itu?
Bagi LHDN, adakah cukai telah dibayar berkenaan wang tersebut dan jika tiada cukai dikenakan, apakah pula sebab-sebabnya?
Bagi polis dan SPRM, adakah pembayaran itu dalam pengetahuan dan penyiasatan mereka sebelum ini dan setelah ia terdedah sekarang ini serta disusuli dengan banyak laporan polis mengenainya, adakah mereka sedia melakukan siasatan semula?
Tetapi, kenapa semua pihak masih mendiamkan diri?
Adakah diamnya Najib dan Shafee kerana mereka sedang berfikir dan berbincang untuk mencari jawapan yang paling munasabah untuk diberitahu kepada orangramai?
Atau Najib sebenarnya lebih berharap isu ini akan mati dengan sendirinya melalui peredaran masa atau jika muncul isu lain yang lebih besar?
Apakah selagi Najib membisu, maka agensi-agensi penguatkuasa juga tidak berani berkata apa-apa?
Jika Najib memilih untuk terus membisu, sampai bila beliau boleh melakukannya?
Sehingga ini hanya Nazri Aziz, satu-satunya pemimpin UMNO yang tampil menolak dan tidak percaya bayaran yang dibuat oleh Najib kepada Shafee itu.
Tetapi, adakah kata-kata Nazri boleh dipercayai atau beliau tahu semua perkara berkaitan Najib?
Selebihnya, kenapa semua pemimpin UMNO dan kerajaan juga diam membisu?
Apakah pilihan yang ada pada rakyat jika Najib dan semua yang lain tidak tampil dengan jawapan sampai ke akhirnya?
Sediakah kita menerima pemimpin yang bisu untuk terus mengetuai dan memimpin negara ini?
Kecuali jika kita tidak sama-sama bisu atau perut sesak dengan dedak, jawapannya pasti sudah ada dalam hati setiap kita. (ShahbudinHusin 05/06/2017)