Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JANGAN EGO, UTAMAKAN KEMENANGAN BERBANDING BILANGAN

Kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, parti itu tidak akan berkongsi atau menyerahkan mana-mana kerusi yang pernah ditandinginya kepada rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan.
“Kami tidak akan serahkan mana-mana kerusi kepada sesiapa, walaupun di tempat yang kami kalah. Kami tak boleh berikan kepada sesiapa.
“30 kerusi  yang kita menang, kita tak akan serah kepada sesiapa. 
“Malah kawasan-kawasan yang kita kalah dalam pilihanraya lepas, kita juga akan berjuang untuknya,” kata beliau ketika berucap di Kongres PKR semalam.
Amboiii….
Ucapan Saifuddin itu dilihat berbeza dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebelum ini yang mengatakan pihaknya sentiasa terbuka kepada sebarang perundingan mengenai pembahagian kerusi, terutamanya sejak kemasukan Bersatu ke dalam Pakatan Harapan.
Mempertahankan kerusi yang sedang dimenangi oleh PKR memang tidak salah, tetapi berkeras untuk bertanding di kawasan yang kalah jelas menunjukkan parti itu tidak ingin kepada kemenangan melalui semangat perkongsian.
Dalam hal ini, PKR perlu terbuka dan jangan bersikap seperti Pas yang awal-awal lagi menunjukkan sikap keras kepala, di sebalik mengatakan sedia bekerjasama, tetapi tetap dengan pendirian 70 kerusi yang mereka pernah tandingi dalam pilihanraya 2013 lalu tidak diganggu.
Apa gunanya berunding dan bekerjasama jika syarat sebegitu sudah diletakkan sebelum pun perbincangan dijalankan?
Jangan terlalu ego dalam soal pembahagian kerusi kerana yang penting bukan jumlah kerusi yang ditandingi, tetapi berapa kemenangan yang mampu dimenangi.
Apa guna bertanding 90 kerusi  jika yang menang hanya 30 saja berbanding bertanding 60 kerusi, tetapi melalui perkongsian dan semangat kerjasama, kemenangan itu dapat ditingkatkan kepada 45 atau 50 kerusi?
Bukankah dengan sedia berkongsi dan melihat potensi semua parti, peluang Pakatan Harapan lebih terbuka untuk mencapai kemenangan?
Seorang lagi pemimpin PKR, Dr Xavier Jayakumar nyata lebih bijak dan menunjukkan kematangan dalam hal ini dengan mengatakan PKR peru menolak ego dalam soal pembahagian kerusi.
“Suatu ketika dahulu sewaktu kita baru menubuhkan parti, Pas dan DAP memberikan kerusi untuk kita bertanding. Kerusi yang diberikan kepada kita berdasarkan kekuatan kita dan akhirnya kita menang.“Sebab itu untuk rakan baharu kita iaitu Bersatu, Pakatan Harapan perlu bincang dan beri kerusi mengikut kekuatan ynag akhirnya ialah untuk kita menang banyak kerusi,” kata beliau yang turut berucap di Kongres PKR yang sama.Jika ego dalam soal pembahagian kerusi dan sikap seperti Saifuddin itu tidak dibendung,  akhirnya bukan saja PKR sama macam  Pas sekarang, tetapi seperti cuba memberi laluan untuk Najib, UMNO dan BN terus bermaharajalela merangkul kuasa di negara ini. (ShahbudinHusin 22/05/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

160 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
160
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x