Walaupun sudah dua kali debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz digagalkan oleh pihak polis, masih ramai yang mahu ia terus diusahakan agar menjadi kenyataan akhirnya.
Susulan faktor keselamatan dan ketenteraman awam yang menjadi alasan pihak polis, malah menurut risikan polis juga dillaporkan ada pihak yang mahu membuat kacau di Shah Alam pada 7 April nanti, ramai yang melihat masalahnya cuma berkaitan tempat saja.
Jika diadakan di tempat yang selamat dan terjamin daripada sebarang kemungkinan berlakunya kacau-bilau atau rusuhan, tentulah pihak polis tiada alasan lain lagi untuk tidak membenarkannya.
Lantaran itu, pelbagai idea dan cadangan kedengaran di sana sini.
Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani yang nampaknya merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang mahu debat itu menjadi kenyataan, mencadangkan agar ia diadakan di hotel.
“Kalau tidak boleh (permit), buat saja di hotel, selesai masalah,” kata beliau.
Dalam hal ini, Johari barangkali bolehlah menjadi penaja bersama Sinar Harian untuk memilih mana-mana hotel yang sederhana dan difikirkan sesuai, lagi baik jika disertakan jamuan ringannya sekali.
Sudah tentu jika ada penglibatan beliau secara langsung sebagai pemimpin kerajaan, menjadikan dua menteri yang terlibat, termasuk Nazri sebagai pendebat, beberapa perkara remeh dan soal birokrasi lain berkaitan penganjuran debat itu akan dapat diatasi dengan mudah.
Diharapkan Johari tiada halangan mengenai perkara itu, lebih-lebih lagi atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan Kedua yang memang sedang berusaha keras menyelesai dan membangunkan aset-aset 1MDB sekarang ini.
Mana tahu daripada debat itu beliau turut akan mendapat ilham atau idea-idea baru untuk menyelesaikan kemelut 1MDB.
Seorang bekas Ahli Parlimen UMNO mencadangkan debat itu, jika mahu terus dijadikan kenyataan agar diadakan di mana-mana dewan milik kerajaan negeri Selangor seperti SACC di Shah Alam.
Kata beliau, dengan penglibatan kerajaan negeri, tambahan lagi sudah banyak program politik diadakan di Shah Alam sebelum ini, ia tentunya tidak mendatangkan banyak masalah dari segi kelancarannya.
Di media sosial, oleh kerana yang dibimbangi oleh polis ialah mungkin berlaku kekacauan, ada juga yang mencadangkan agar debat bersejarah kali ini diadakan secara maya saja.
Ia bermakna, melalui teknologi penyiaran serba canggih yang sedia ada, Tun Mahathir dan Nazri sama-sama berada di tempat yang berbeza, tetapi bersoal jawab dan berhujah seolah-olah sedang bertentang mata.
Penonton di mana-mana saja boleh menontonnya secara bebas melalui telefon pintar, tablet atau komputer.
Ia, kata mereka yang melontarkan idea tersebut, tentunya lebih selamat, bukan saja kerana tiada penyokong yang mungkin bersorak, mengejek atau berbalah antara satu sama lain, malah Tun Mahathir dan Nazri pun tidak mungkin dapat bergasak secara fizikal.
Seorang rakan yang pernah menjadi pengulas televisyen berkata, kiranya banyak sangat halangan dan kekangan, adalah lebih baik Tun Mahathir dan Nazri berdebat di dalam studio saja, tetapi dipancarkan secara langsung melalui tv atau kemudahan internet.
Kata beliau, ada penonton atau tidak dalam debat itu bukanlah faktor penting kerana yang ingin didengar ialah hujah-hujah mereka yang berdebat itu.
Yang lain pula mencadangkan, atas faktor keselamatan juga, agar Nazri meyakinkan Najib untuk mengadakan debat yang dinanti-nantikan itu sama ada di Dewan Merdeka, PWTC yang menjadi milik UMMO atau di halaman Seri Perdana sendiri.
Jika kekacauan masih juga dibimbangkan, jelas mereka, biar disyaratkan hanya Tun Mahathir seorang saja yang boleh hadir, manakala penonton semuanya penyokong UMNO.
“Tun Mahathir tentu tiada halangan, tapi…ahhhh, takkan Najib dan Nazri masih takut juga dalam keadaan begitu.
“Lagi pun, pasti tiada kekacauan yang akan berlaku,” kata yang mencadangkan itu dengan bersungguh-sungguh.
Jika takutkan kekacauan terus menjadi alasan dan kebimbangan pihak polis, seorang lagi bekas Ahli Parlimen mengusulkan agar debat Tun Mahathir dan Nazri diadakan saja di dewan atau perkarangan di Bukit Aman, iaitu ibu pejabat polis sendiri.
“Takkan di situ ada yang berani nak buat kacau juga?” soal beliau.
Nampaknya, meskipun dua kali dihalang oleh pihak polis, keghairahan orangramai tetap membara untuk melihat debat Tun Mahathir dan Nazri benar-benar menjadi kenyataan.
Apa pun, segala-galanya kini terpulang kepada Nazri. Jika semasa dibatalkan kali pertama dulu, beliau agak melenting, marah dan benar-benar seperti anak jantan, tapi dalam pembatalan kali kedua ini, suaranya belum lagi kedengaran.
Masih jantankah Nazri untuk terus berlawan atau berbalas hujah dengan Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 02/04/2027).