Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

"BERHENTI SAJALAH JADI KERAJAAN"

Di sebalik gegak-gempita dan gebang kencang di sana-sini kononnya Najib Razak berjaya memacu ekonomi negara dengan baik, malah dikata juga pertumbukan kita lebih baik berbanding negara-negara maju, hakikatnya apa yang terbentang di depan mata amat menyedihkan rakyat jelata.
Bukan saja sebenarnya ramai peniaga tutup kedai, syarikat tidak ada kontrak dan ada yang sampai menjual bangunan serta puluhan ribu lepasan universiti masih menganggur, sekarang ini menyediakan ubat untuk kesihatan rakyat pun nampaknya kerajaan sudah mula tercungap-cungap.
Arahan terbaru kini meminta pesakit memulangkan semula ubat yang tidak habis mereka gunakan kepada klinik atau hospital kerajaan…kononnya bagi mengelakkan pembaziran.
Tidakkah ini menunjukkan kerajaan sudah parah sehingga ubat lebihan pun minta dipulangkan?
Kalau pembaziran yang ditekankan, apakah kerajaan tidak membazir dalam perkara-perkara lain?
Bukankah setiap pesakit biasanya diberikan ubat oleh doktor berdasarkan jangkaan mereka mampu pulih daripada penyakit yang dihidapi?
Kalau jangkaan mereka perlu makan ubat selama tiga hari, tiba-tiba mereka sudah sembuh dalam tempoh dua hari, bermakna lebihan ubat  yang tinggal hanyalah sedikit iaitu bekalan untuk satu hari saja.
Apakah dengan jumlah ubat lima enam biji itu kerajaan begitu berkira dan tidak mampu menanggungnya lagi?
Jika seorang pesakit memulangkan ubat lebihan mereka kepada klinik atau hospital, sudah tentu ubat itu akan diberikan untuk pesakit yang lain pula atau dalam erti kata lain ianya dikitar semula.
Dalam hal ini, bagaimana jika ubat tersebut sudah tercemar, tidak lagi terjamin kebersihannya kerana disentuh dan diletak mereta-rata, dijangkiti kuman dan sebagainya?
Apakah untuk mencapai matlamat negara maju dan TN50, langkah memulangkan ubat ini merupakan amalan yang sesuai atau langkah mundur ke belakang yang memalukan?
Adakah negara-negara maju yang lain turut mengamalkan pendekatan seperti itu?
Adakah negara Afrika paling mundur sekali pun pernah berbuat perkara yang sama?
Apa agaknya perasaan makcik-makcik  Felda apabila untuk pergi ke klinik saja jauhnya mungkin lima atau enam kilometer dan kemudian mengembalikan ubat yang tidak habis digunakan, mereka perlu bermotosikal atau berkereta usang puluhan kilometer lagi bagi tujuan itu?
Sudahlah harga ikan kembong RM22 sekilo, adakah mereka gembira dan redha dengan langkah kerajaan itu atau dalam hati mereka akan berkata, “lebih baik berhenti sajalah jadi kerajaan” jika sudah begitu sekali parahnya untuk mengurus negara? (ShahbudinHusin 22/04/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

61 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
61
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x