Semalam Presiden Pas, Hadi Awang berkata, mana-mana parti yang bercita-cita mahu memerintah Malaysia perlu memilih sama ada bekerjasama dengan Pas atau pun UMNO.
Selain menyatakan Pas dan UMNO adalah kuasa politik Melayu yang utama, kenyataan Hadi itu juga bermaksud bahawa Pas dan UMNO adalah dua parti yang terkuat di negara ini.
Bagaimanapun, hari ini Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Najib Razak dan UMNO sebenarnya lebih takut kepada Bersatu.
Menurut beliau, Bersatu mempunyai potensi besar untuk merampas undi orang Melayu, maka ia menjadi risiko yang besar buat UMNO.
Jadi, siapa yang kuat sebenarnya?
Hadi kata UMNO dan Pas kuat, tetapi menurut Mohd Amar, yang ditakuti Najib ialah Bersatu.
Kenapa setelah Pas terlihat lebih cenderung bersama UMNO pun, masih juga Bersatu yang ditakuti oleh Najib?
Bukankah jika dua parti Melayu terbesar sudah bersatu hati, sepatutnya tiada siapa lagi yang Najib perlu takuti?
Menjadi persoalan juga mengapa Mohd Amar mengatakan Najib masih takut dengan Bersatu, tetapi tidak mengatakan takut dengan Pas?
Kiranya Pas tahu Najib takut kepada Bersatu, apakah Pas juga sebenarnya turut takut dengan ketiadaan Bersatu?
Adakah kenyataan Mohd Amar itu memberi gambaran Pas ingin berpatah balik daripada bersama UMNO yang sudah dirapatinya sejak sekian lama dan merupakan isyarat baru Pas ingin berbaik semula dengan Bersatu? (ShahbudinHusin 17/04/2017)