Setelah Nazri menyatakan persetujuannya dari Berlin, Tun Mahathir kini pantas bergerak selangkah lagi dengan mencadangkan agar debat itu diadakan di Padang Rengas, kawasan Parlimen yang merupakan kubu kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.
Seorang pembantu khas Tun Mahathir berkata, aturan kini sedang dibuat agar debat itu diadakan di Padang Rengas, Perak ketika bekas Perdana Menteri itu dijadualkan berkunjung ke sana.
Butiran debat akan dihantar ke pejabat Nazri dalam waktu yang terdekat ini, kata pembantu khas itu lagi.
Dengan kesediaan Tun Mahathir memilih Padang Rengas sendiri sebagai tempat untuk berdebat dengan Nazri, bekas Perdana Menteri berusia 92 yang sering dituduh nyanyuk dan dikata baling gelas pun tak pecah, sekali lagi menunjukkan keberaniannya yang luar biasa yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapa setakat ini.
Jika sebelum ini beliau setuju mengadakan debat itu tanpa syarat dan atas apa juga tajuk yang dikehendaki Nazri, baik 1MDB, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib Razak, hutang RM55 bilion keretapi Pantai Timur, BMF atau apa saja, sekarang Tun Mahathir sedia datang ke kubu kuat Nazri pula.
Hebat kan!!
Maka, Nazri kini tiada alasan lagi untuk tidak bersetuju atau melakukan pusingan u kepada persetujuan yang sudah diberikannya sebelum ini.
Waima jika sekiranya Najib tidak membenarkan pun beliau berdebat dengan Tun Mahathir, Nazri harus berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan juga Perdana Menteri untuk membenarkannya berdebat.
Jika tidak, malu besarlah Nazri dengan keberanian dan kegagahan Tun Mahathir.
Meskipun, paling mungkin Tun Mahathir mahukan debat itu diadakan pada 25 Mac ini sempena kunjungannya ke Padang Rengas, tetapi jika Nazri tidak berkelapangan pada tarikh tersebut, beliau bolehlah mencadangkan tarikh lain sebagai pilihan.
Yang penting, sebagaimana dinyatakan oleh Tun Mahathir, tempat debat mesti di Padang Rengas dan bukan di tempat lain.
Apa pun, buat kesekian kalinya lagi, Tun Mahathir memang terbukti hebat dan tiada tandingannya. (ShahbudinHusin 10/03/2017).