Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

GURU2 BOLEH SOKONG PEMBANGKANG DAN KRITIK KERAJAAN, TAPI….

Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.
Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.
Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Datuk Seri Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.
Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050.
Saya menyarankan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhenti mencampuri urusan para guru di luar waktu sekolah, sebaliknya beliau patut memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Hal ini kerana, bukan satu rahsia lagi apabila para guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar. 
Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.
Selain itu, ada juga dilaporkan yang para guru turut diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan.
Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu para guru ini berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna. Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan.
Walau bagaimanapun, menyedari suasana Kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada.
Pastikan anda menggunakan kuasa undi anda untuk mengubah Kerajaan sekarang kepada sebuah Kerajaan baharu yang lebih peduli dengan nasib semua golongan masyarakat.
DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional
27 Mac 2017.
Ulasan – Mengapa UMNO dan BN tiba-tiba begitu bimbang dengan guru-guru yang menyokong parti pembangkang dan mengkritik kerajaan?
Adakah tarikh pilihanraya sudah hampir nak tiba?
Adakah dengan mengugut untuk mengambil tindakan akan menakutkan guru-guru dan menyebabkan undi lebih bertambah kepada BN atau mengakibatkan kebencian terus meningkat dan sokongan makin terhakis?
Jika guru-guru terlibat dalam politik di luar waktu sekolah dan tidak menjejaskan tugas-tugas mengajar mereka, apa masalahnya kepada kerajaan?
Guru-guru berkhidmat kepada kerajaan atau kepada UMNO dan BN?
Bagaimana pula dengan guru-guru atau pegawai pendidikan daerah dan negeri yang taksub gila menyokong UMNO dan BN?
Apa hukuman untuk mereka? Di mana keadilannya?
Selain itu, bukankah Mahadzir Khalid sendiri adalah guru sebelum ini dan kerana penglibatannya dalam politiklah beliau dapat jadi Menteri Besar Kedah dan sekarang Menteri Pendidikan?
Ohhh….sebenarnya guru-guru memang dibolehkan menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan, tetapi pastikan ia hanya di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan saja.
Oleh itu…PRU 14 nanti, ubah jangan tak ubah. (ShahbudinHusin 27/03/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

90 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
90
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x