Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

DEBAT 7 APRIL DI SHAH ALAM NANTI, MASIH SESUAIKAH NAZRI MEWAKILI PENGUNDI PADANG RENGAS?

Walaupun  debat di MRSM Kuala Kangsar yang sepatutnya berlangsung semalam sudah lama dibatalkan kerana tidak diberikan permit polis, tetapi Nazri Aziz tetap di hadir dan menunggu kedatangan Tun Mahathir di situ. 
Beliau dilaporkan menunggu selama hampir tiga jam di perkarangan MRSM sebelum beredar menuju kawasan Lembah Sungai Perak setelah mengetahui Tun Mahathir ada di sana. 
Tun Mahathir berada di kawasan itu kerana menghadiri program lain anjuran Bersatu, di mana pada malamnya beliau turut ada program ceramah umum di Padang Rengas bersama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.
Kedua-dua mereka bertemu di Lembah Sungai Perak. Dalam pertemuan itu, Tun Mahathir dan Nazri duduk bersebelahan sambil menikmati cendol dan laksa. Mereka juga kemudian bersama-sama meninjau kawasan Sungai Perak.

Namun seperti yang dilaporkan oleh beberapa portal atas talian, Nazri tidak banyak berbual dengan Tun Mahathir, malah tidak memandang pun wajah bekas Perdana Menteri itu, meskipun duduk bersebelahan, menikmati laksa dan cendol serta berpeluang berjalan bersama-sama
“Hari ini dia (Nazri) bersungguh-sungguh nak jumpa dengan saya, saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila jumpa dekat tempat jual cendol, dia tak kata apa pun.
“Nak jumpa tapi tidak cakap, kenapa?
“Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja. 
“Habis-habis sangat dia kata itu Sungai Perak… saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya,” ujar Tun Mahathir ketika mengulas pertemuannya dengan Nazri semasa menyampaikan ceramahnya  di Kota Lama Kiri, malam tadi.
Sebelum itu, ketika berada di MRSM Kuala Kangsar untuk menunggu ketibaan Tun Mahathir, di sebalik seluruh dunia tahu debat sudah dibatalkan dan ditunda kepada 7 April depan di Shah Alam, Nazri berkata, beliau sengaja datang awal untuk mengelak dituduh pengecut untuk berhadapan dengan Pengerusi Bersatu itu.
Pelik juga Nazri ini…sanggup tunggu selama tiga jam dan tak mahu dituduh pengecut, tapi bila berpeluang berdepan dengan Tun Mahathir, tak pula mahu bercakap!

Tetapi, di sebalik pertemuan santai antara Tun Mahathir dan Nazri semalam, apa yang sangat ditunggu-tunggu dan diharapkan ialah agar debat pada 7 April nanti benar-benar menjadi kenyataan.
Dalam debat di Padang Rengas yang tidak menjadi kenyataan semalam, Nazri ditolak daripada mewakili UMNO atau kerajaan oleh Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO dan Johari Ghani, Menteri Kewangan Kedua.
Lantaran keliru dengan situasi tersebut, Nazri pantas memilih jalan tengah dengan mengatakan beliau adalah mewakili pengundi Padang Rengas sahaja.
Ketika itu, memang nampak ada asasnya Nazri berkata demikian, bukan saja kerana kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas, tetapi juga disebabkan lokasi debat itu sendiri diadakan di Padang Rengas.
Tetapi, pada 7 April nanti debat sudah dipindahkan ke Shah Alam, maka kali ini Nazri mewakili siapa pula?
Tentulah tidak logik lagi jika beliau mewakili pengundi Padang Rengas, sedangkan debat kali ini diadakan di Shah Alam. Pengundi Padang Rengas pun barangkali tidak mungkin ramai yangdapat hadir ke Shah Alam itu nanti.
Dibandingkan dengan Padang Rengas yang jauh di utara, Shah Alam lebih hampir dengan Putrajaya dan PWTC yang merupakan pusat kuasa kepada kerajaan dan UMNO.
Berbeza dengan Tun Mahathir, kalau pun tidak mewakili Pakatan Harapan, beliau tentu dipersetujui sebulat suara mewakili Bersatu yang dipengerusikannya.
Selain isu-isu yang didebatkan merupakan topik nasional, di samping Nazri adalah juga seorang menteri dan Ahli MT UMNO, jika UMNO dan kerajaan benar-benar jujur, kenapa tidak status beliau dalam debat di Shah Alam nanti segera diubah?

Adakah UMNO dan kerajaan sedia membenarkan Nazri mewakili mereka berikutan perubahan lokasi itu atau sekali lagi faktor keselamatan dan ketenteraman awam akan dijadikan alasan untuk membatalkannya?
Lebih-lebih lagi Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semalam dipetik sebagai berkata, pihak penganjur masih perlu memaklumkan kepada pihak polis mengenai penganjuran debat tersebut dan sehingga ini mereka belum lagi berbuat demikian.
Kebarangkalian lain ialah mungkinkah MT UMNO yang akan bermesyuarat hujung bulan ini akan memutuskan debat itu tidak perlu diadakan dan Nazri, tiada pilihan lain selain terpaksa akur saja dengannya? (ShahbudinHusin 26/03/2017).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

103 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
103
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x