Baru semalam kononnya telah terjalin persetujuan untuk bekerjasama antara Pas dengan Bersatu bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Ia dikatakan harapan baru yang lebih cerah untuk melihat UMNO dan BN dapat dikalahkan.
Hanya ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi lagi sebelum persetujuan muktamad akan ditandatangai oleh Presiden kedua-dua parti, Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin sendiri dalam kenyataan medianya melahirkan rasa syukur dan gembira atas persefahaman yang dicapai semalam, sambil berharap dapat menandatangani perjanjian rasmi dengan Hadi dalam tempoh beberapa hari akan datang ini.
Namun, sementara Hadi masih berdiam diri dan tidak berkata apa-apa mengenai perkembangan semalam itu, lain pula nada yang kedengaran daripada mulut lain-lain pemimpin Pas.
Ketua Dewan Ulama Pas, Mahfodz Mohamed berkata, Pas hanya akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya parti itu sanggup melupakan hubungan dengan DAP dan Amanah.
Jika Bersatu mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah, maka kita tidak akan bersama dengan mereka, walau dengan apa alasan dan sebab sekali pun, ujar beliau.
Ini dah kira mengada-ngada dan mencipta alasanlah ni…bukankah Pas sudah tahu Bersatu ada perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan yang didalamnya sah ada DAP dan Amanah?
Maka, bagaimana mungkin diletakkan syarat mesti tinggalkan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan Pas?
Lagi pula, bagaimana untuk menjadi kerajaan dan mentadbir Malaysia yang ada kaum Cina dan bukan Melayu kira-kira 35 peratus sebagai komponen masyarakat jika tidak bekerjasama dengan DAP?
Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Zuhdi Marzuki pula, kerjasama Pas dengan Bersatu itu masih jauh lagi perjalanannya, malah jika diteliti mungkin lebih banyak selekoh, simpang, lopak, lurah dan gaung yang harus dilalui sebelum perjanjian rasmi dapat dimuktamadkan.
Berikut adalah kenyataan beliau:-
Belum ada apa-apa keputusan muktamad daripada pertemuan tersebut. Cadangan-cadangan dari PPBM berkaitan dengan bentuk-bentuk kerjasama dengan PAS dan GAGASAN SEJAHTERA (GAGASAN), akan diteliti oleh Jawatankuasa PAS Pusat (JKPP) dan kemudian akan dibawa ke Majlis Syura Ulama PAS (MSU). MSU lah yang mempunyai kata akhir untuk membenarkan kerjasama itu atau tidak.
Sebelum ini MSU telah memutuskan hubungan tahaluf siyasi (pakatan politik) dengan DAP, yang boleh difahami juga sebagai haram berkerjasama dengan DAP. Berdasarkan keputusan MSU itu, tidak mungkin PAS akan berpatah balik untuk menjalin kerjasama dengan DAP secara langsung atau tidak langsung. Perkara ini pasti akan menjadi asas untuk JKPP dan MSU membuat keputusan.
Selain daripada itu, PAS sudah komit bersama-sama blok GAGASAN. Sekiranya keputusan nanti, PPBM akan dibenarkan bekerjasama dengan PAS iaitu bermaksud menyertai GAGASAN, akan ada pula proses membuat keputusan selanjutnya, iaitu mendapatkan persetujuan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk menerima kemasukan parti baru. Oleh sebab itu, resolusi semalam masih jauh untuk dimuktamadkan.
Dr Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.
Sementara itu, esok 3hb Februari, Hadi Awang dan Najib Razak sekali lagi akan bergandingan di pentas yang sama dalam majlis pelancaran kapal untuk menghantar bantuan makanan kepada umat Islam di Rohingya.
Majlis akan diadakan di Pelabuhan Kelang dan walaupun ia difahami tidak berkaitan dengan politik, tetapi kenapa Hadi saja yang diajak oleh Najib untuk bersama?
Mengapa pula Hadi nampaknya lebih mudah menerima ajakan Najib, meskipun “kotor dan cacat celanya” Perdana Menteri itu menjadi bualan di seluruh dunia?
Apakah mesej di sebalik kehadiran Hadi esok sedangkan baru semalam Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mukhriz Mahathir dikatakan telah berjaya menjalin persetujuan kerjasama antara Pas dengan Bersatu?
Walaupun ada yang mengatakan saya tak berapa faham politik serta menyarankan agar berhenti menulis, saya sebenarnya membesar dalam suasana keluarga Pas serta pernah terlibat aktif dalam UMNO.
Untuk itu, rasanya saya cukup faham dengan watak dan perangai orang-orang politik ini, baik Pas mahupun UMNO.
Memang syukur dan Alhamdulillah jika perjanjian kerjasama dapat dimuktamadkan akhirnya antara Pas dan Bersatu, malah tentunya itulah harapan majoriti rakyat yang inginkan perubahan, tetapi selagi Pas dipimpin oleh Hadi, keyakinan saya tetap sama – ia tetap sukar menemui titik persamaan dan pertemuan demi pertemuan antara pemimpin kedua-dua parti itu hanyalah membuang masa saja.
Bak kata pepatah – sekilas nampak ikan di kolam, dah tahu nak dimasak apa untuk dijadikan hidangan. (SH 02/02/2017).