Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

BILA ANGAU SUDAH MERASUK CINTA….

Apabila seseorang sekadar jatuh cinta, ia mungkin masih rasional dan boleh lagi diajak berkira. Keburukan atau tingkah laku yang salah orang yang diicintainya itu, tetap akan dianggap salah dan tidak betul.
Sekadar cinta, tidak menutup keburukan, kejahatan atau kepalsuan.
Tetapi, apabila angau telah melanda rasa cinta, apa pun tidak berguna lagi. Apa jua keburukan, malah kejahatan orang yang dicintainya itu, bukan saja langsung tidak dipedulikan, malah yang mengkhabarkan keburukan itu biasanya akan dimusuhi dan dibenci.
Orang yang angau bercinta, jarang ada ubatnya. Ia akan menjadi menjadi khayal dan asyik mahsyuk dengan pasangannya itu sepanjang masa. Walaupun ketika berkawan dengan orang lain, yang itu-itu juga disanjung dan dipujanya.
Pasangan yang diangauinya itu tetap dianggap baik dan suci, meskipun di seluruh dunia diperkatakan dan diketahui kejahatannya. Malah, jika masuk penjara pun, perasaannya tidak berubah dan sedia ditunggu juga.
Ubat bagi pasangan yang angau bercinta ialah dikahwinkan saja. Selagi tidak berkahwin, mereka akan terus dengan angau yang menggila.
Selain mungkin kerana ubat guna-guna, orang biasanya jadi angau kerana rupa atau harta. Jika kaya berjuta pun mudah digilai, apatah lagi jika yang ada wang berbilion-bilion banyaknya.
Lantaran itu, orang kaya selalui digilai dan ramai yang angau kerananya. Jika dapat sekali dua keluar bersama dengan bilionaire, apatah lagi jika pemurah dan mudah menghulur sejuta dua, rasa angau biasanya akan terus menggila.
Hubungan Pas dengan UMNO barangkali tidak banyak bezanya dengan orang yang sedang angau bercinta. Pas bukan lagi sekadar ada rasa cinta kepada UMNO, bahkan kebelakangan ini terlihat sudah jadi angau keadaannya.
Meskipun macam-macam sudah didedahkan mengenai Najib Razak dan UMNO, parti itu tetap dianggapnya yang terbaik untuk berkawan dan bekerjasama.
Pas tiba-tiba lupa kepada sejarah dan masa lalu UMNO yang bukan lagi rahsia sebenarnya. Parti itu kini sudah jadi angau kepada UMNO sejak parti itu diketuai oleh Najib.
Dengan itu, sebenarnya tidak guna lagi bagi parti-parti lain menaruh harapan cinta kepada mereka. Biarkan saja Pas dan UMNO terus bercanda sesama mereka dan  mudah-mudahan berkahwin akhirnya.
Orang yang sedang angau memang tidak ada ubatnya dan selagi tidak dikahwinkan, meracau-racaulah mereka. (SH 07/02/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

117 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
117
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x