Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

FORUM MENYEDARKAN PENGUNDI MELAYU MENOLAK NAJIB PADA PRU 14

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim melalui syarikat penerbitannya, ZI Publication Sdn Bhd akan menganjurkan forum “Melayu Badut atau Melayu Wawasan” pada  Sabtu, 7hb Januari ini, jam 8.00 malam di Goodhope Hotel, Johor Bahru.
Forum akan disertai oleh ahli panel yang terdiri daripada Zaid Ibrahim sendiri, Timbalan Presiden Amanah, Sallahuddin Ayub, Pengerusi PKR Johor, Hasan Karim, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Prof Dr Tajuddin Mohamad Rasdi.
Sidang media mengenai forum itu diadakan di  Kelab Akhbar Johor Bahru, pagi tadi.
Bercakap kepada media, Zaid berkata, beliau tergerak hati untuk menganjurkan forum itu dengan tujuan untuk mengajak pengundi-pengundi Melayu agar berani membuat keputusan yang penting dalam PRU 14 akan datang di sebalik pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh Najib Razak kepada negara.
Katanya, pilihanraya akan datang adalah satu-satunya detik penting untuk pengundi Melayu melakukan perubahan yang akan memberikan kebaikan kepada masa depan negara dan anak-anak cucu mereka.
Orang Melayu sebagai pengundi majoriti dalam negara tidak boleh sekadar berdiam diri dan mengeluh semata-mata, tetapi tidak mempunyai keberanian menggunakan hak mereka yang sah setiap lima tahun sekali untuk menentukan masa depan depan negara ini, jelasnya lagi.
Sehubungan itu, tegas Zaid, forum di Johor Bahru ini adalah langkah permulaan untuk pihaknya memberi kesedaran bagi maksud tersebut.
Menurutnya, selepas di Johor Bahru, beliau akan menggerakkan forum yang serupa ke seluruh negara supaya perubahan sikap pengundi Melayu itu benar-benar mampu menjelmakan kejayaan sebagaimana yang diharap-harapkan.
Kita bermula di selatan dan kemudian kita akan pergi ke beberapa kawasan di pantai barat, timur dan utara untuk menggerakkan perubahan pengundi Melayu agar mereka berani berubah dan tidak terus berada dalam pentadbiran lama yang bukan saja merugikan, bahkan sebenarnya memperdaya masa depan mereka, tambah Zaid lagi.

Sehubungan itu, untuk warga Johor Bahru dan yang berdekatan dengannya, mereka adalah dijemput beramai-ramai menghadiri forum pada Sabtu ini yang terbuka, percuma serta turut disediakan jamuan ringan di akhir program. (SH 03/01/2017).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

79 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
79
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x