Khairy Jamaluddin, setelah sekian lama berdiam diri, akhirnya tampil menafikan bahawa beliau pernah menghantar surat perletakan jawatan sebagaimana yang didakwa oleh Mukhriz Mahathir.
Ketua Pemuda UMNO itu bagaimanapun tidak menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan di rumahnya dengan bekas Menteri Besar Kedah yang kini merupakan Timbalan Presiden PPBM.
“Ketika beliau masih bersama UMNO…kita berjumpa dan kadang-kadang dia menziarahi saya, kami membincangkan isu-isu semasa, itu saja.
“Apa yang beliau kata mengenai saya hantar surat perletakan jawatan, adalah tidak benar,” tambah KJ yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Nah….bagaimana sekarang?
Siapa benar, siapa salah?
Apakah Mukhriz masih mahu mempertahankan dakwaannya?
Oh ya…bukankah dalam kenyataannya sebelum ini, Mukhriz turut menyebut bahawa pendedahannya mengenai KJ itu berikutan pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan pada suatu malam yang turut dihadiri oleh seorang saksi.
Dalam pertemuan itu, dakwa Mukhriz, KJ turut menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap penjelasan Najib mengenai kemelut 1MDB yang dianggapnya tidak masuk akal dan seperti memperbodohkan rakyat.
Siapakah saksi yang turut hadir dalam pertemuan antara Mukhriz dengan KJ itu?
Tidak mahukah Mukhriz menyebut nama saksi tersebut atau menampilkannya sebagai bukti untuk mengesahkan dakwaannya adalah benar dan bukan sekadar cakap-cakap kosong?
Pilihan kini di tanganmu, Mukhriz…tapi tolonglah jangan lebih daripada dua hari untuk memulakan langkah seterusnya!! (SH 24/12/2016).