Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

HABIS….KALAU BUKAN BERCAKAP, APA LAGI KERJA ZAHID HAMIDI?

Kerja asas pemimpin politik ialah bercakap. Mereka bukan saja perlu bercakap mempromosi diri sendiri dan menarik sokongan, bahkan juga untuk menyerang pihak lawan. 
Bagi pemimpin politik yang berjawatan dalam kerajaan, mereka harus bercakap mengenai dasar yang mahu dilaksanakan, menjelaskan mengenai isu-isu semasa, menjawab persoalan serta kekeliruan dan seumpamanya.
Tidak sah menjadi pemimpin politik jika tidak bercakap, malah kepandaian atau kepetahan bercakap seringkali menjadi suatu kelebihan bagi orang politik.
Berjumpa dengan rakyat, menghadiri mesyuarat, merasmikan program, hadir ke Parlimen, sembang di kedai kopi dan macam-macam lagi, semua yang diperlukan ialah bercakap. 
Dengan hakikat demikian, kita tidak pernah mendengar orang bisu menjadi pemimpin politik, menteri atau ketua kerajaan. Gus Dur yang yang buta tapi tidak bisu, malah pernah diangkat menjadi Presiden Indonesia.
Berbeza dengan pegawai kerajaan, mereka adalah pelaksana atau menjalankan arahan yang diputuskan oleh pemimpin politik. Keperluan bercakap tidak menjadi keutamaan bagi mereka.
Sebab itu, apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi enggan menjawab soalan wartawan mengenai penahanan Ketua Bersih, Maria Chin Abdullah di bawah Sosma, sebaliknya menghalakan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk memberi penjelasan, ramai yang jadi kehairanan.
Untuk isu itu, kami minta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk menjawab, saya tidak mahu sentuh hal ehwal operasi mereka, demikian kata Zahid lagi.
Mengapa Zahid enggan menjawab? Kenapa mahu diserahkan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menjelaskannya?
Bukankah menjawab persoalan mengenai penahanan Maria Chin itu merupakan tanggungjawab sebagai pemimpin politik yang mengetuai kementerian berbanding pegawai kerajaan?
Jika menteri tidak mahu menjawab kepada orangramai, sebaliknya mahu diserahkan kepada pegawai kerajaan melakukannya,  apa pula kerja pemimpin politik yang mengetuai kementerian dan bertanggungjawab terhadap sesuatu jabatan itu?
Apakah pemimpin politik hanya suka mengumumkan kepada orangramai sesuatu perkara yang baik-baik saja seperti berkaitan projek, perbelanjaan bilion-bilion, pengumuman kemasukan pekerja asing dan seumpamanya saja?
Dalam kes penahanan Maria Chin, meskipun ia merupakan operasi yang diputuskan oleh pihak berkuasa, mustahil Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, lebih-lebih lagi di ketika ini Perdana Menteri tidak berada dalam negara, tidak tahu langsung atau tidak dimaklumkan mengenainya.
Dalam hal yang sama, siapa yang menandatangani penahanan Maria Chin di bawah Sosma itu?
Jadi, mengapa Zahid Hamidi susah sangat untuk memberi jawapan bagi kepentingan orangramai mengetahuinya, sebaliknya perlu dihalakan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk memberi penjelasan? (SH 21/11/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

29 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
29
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x