Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

YANG PENTING #TANGKAP MO1 TERTANGKAP DI HATI KITA

Petang ini akan berlangsung perhimpunan #Tangkap MO1 anjuran Persatuan Mahasiswa Melayu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan dijangka akan turut hadir memberi sokongan dalam perhimpunan tersebut. Dilaporkan juga bahawa Tun Mahathir Mohamad akan hadir sama sebagai memenuhi jemputan dan untuk memberikan sokongan.
Bagaimanapun, gerakan baju merah yang sebelum ini bertekad mahu menunjukkan bantahan terhadap himpunan #Tangkap MO1 telah membatalkan hasrat mereka.
Alasan yang diberikan kononnya ia hanya perhimpunan budak-budak kecil yang tidak mungkin disertai ramai orang.
Ia tidak akan berjaya seperti himpunan Bersih, paling tidak 100 atau 200 orang akan hadir. Kalau berjaya menghimpunkan 1000 atau 2000,  ia sudah dianggap berjaya, kata Jamal Md  Yunus cuba memperkecil-kecilkan perhimpunan #Tangkap MO1 petang ini.
Usaha mahasiswa ini sebenarnya adalah langkah terpuji untuk menyedarkan rakyat tentang kemelut besar yang sedang melanda negara kita. Berapa ramai yang akan hadir dan sama ada MO1 akan ditangkap oleh pihak berkuasa negara kita atau sebaliknya,  ia bukanlah isu yang sangat penting sebenarnya.
Kehadiran mencecah 5000 atau 10,000 adalah bonus bagi  gerakan mahasiswa terbabit. Tetapi, rasanya bukanlah masalah besar bagi mereka untuk mendapatkan kehadiran sebanyak 2000 atau 3000 orang.
Yang penting MO1 atau Malaysian Official 1 telah menjadi sebutan dunia dan dikenalpasti oleh pihak Jabatan Kehakiman AS dan FBI sebagai telah menerima wang 1MDB sebanyak AS$731 juta atau hampir RM3,000 juta ke dalam akaun bank peribadinya.
Pihak berkuasa negara kita mungkin tidak akan berbuat apa-apa, malah proses tindakan di Amerika juga barangkali memakan masa yang agak lama. Pembekuan harta Jho Low dan Riza Aziz pun belum selesai lagi. Selepas harta-harta tersebut dibekukan, biasanya barulah proses-proses seterusnya akan bermula.
Maksud lebih besar mahasiswa mengadakan himpunan #Tangkap MO1 adalah agar salah laku MO1 sentiasa melekat atau tertangkap di hati setiap kita. Kesalahan yang dilakukan MO1 sebagaimana disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS bukanlah kesalahan biasa, bahkan luar biasa serta memecahkan rekod dunia.
Jika kita begitu benci benci dan selalu mengutuk semua jenis pencurian, daripada yang besar sehinggalah kepada kecurian sebiji telur ayam atau kehilangan wang tabung masjid, memang jenis manusia paling terkutuk saja yang sanggup berdiam diri terhadap kehilangan wang sehingga RM3,000 juta banyaknya.
Tidak kira berapa ramai yang hadir petang ini, mahasiswa mesti terus menyedarkan rakyat melalui himpunan #Tangkap MO1 ini secara berterusan sehingga tarikh PRU 14 diadakan. 
Kalaupun tidak dapat ditangkap sepertimana mudahnya menangkap Pokeman Go, yang lebih kita mahu ialah MO1 benar-benar tertangkap di hati rakyat yang akan diterjemahkan dalam kotak-kotak undi pilihanraya nanti. (SH 27/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

20 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
20
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x