Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KPN KHALID TIADA PILIHAN LAGI

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan tiada siasatan akan dijalankan terhadap Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang menuduh “Tiga Tan Sri”  terlibat dalam komplot mahu menjatuhkan Najib Razak atas alasan ia hanya berdasarkan andaian semata-mata.
“Tiga Tan Sri” yang dikaitkan itu ialah Gani Patail, bekas Peguam Negara, Abu Kassim Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara.
Sejujurnya, banyak pihak mahukan dakwaan Khairul Azwan itu disiasat oleh polis kerana hanya setelah siasatan dijalankan, barulah diketahui siapa benar dan siapa salah.
Bahkan, setelah Khairul Azwan bersuara kemudiannya bahawa laporan polisnya bukan berdasarkan andaian, malah yakin tindakannya adalah berasaskan kebenaran, Khalid masih lagi tidak memberi apa-apa respon mengenainya.
Dalam hal yang sama pula, Tun Mahathir Mohamad sudah dua kali membuka mulut berkenaan dengannya. Pertama kali, pada 21 Ogos lalu, beliau menyatakan “Tiga Tan Sri” berkenaan telah dikhianati oleh salah seorang dari kalangan mereka.
Kata beliau, jika tidak dikhianati, Najib Razak sudah pun berdepan dengan tindakan daripada pihak berkaitan sekarang ini.
Ketika itu, Tun Mahathir tidak menyebut siapakah yang mengkhianati “Tiga Tan Sri” terbabit kerana bimbang dirinya akan disaman.
Saya tak boleh biarkan mereka menyaman saya sebab saya tidak memiliki banyak wang seperti Najib, tambahnya lagi.
Bagaimanapun, hari ini Tun Mahathir mula berterus-terang dengan memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan perkara yang sama.
Menurut beliau, terdapat empat Tan Sri daripada kalangan mereka dan seorang daripada mungkin telah khianat.
Rasanya tidak sukar untuk meneka siapakah Tan Sri yang di bayangkan oleh Tun Mahathir itu kerana mereka pernah berada dalam pasukan khas yang menyiasat berkenaan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterima Najib sebelum ini.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu enggan mengia atau menidakkan apabila ditanya sama ada Tan Sri yang dimaksudkannya itu ialah Khalid Abu Bakar, sambil berkata, “saya tak tahu, saya tak tahu, saya tak mahu ditangkap.”
Dengan perkembangan ini, Khalid nampaknya sudah tiada pilihan lain melainkan membuka kertas siasatan secara menyeluruh, bukan saja berkaitan penggulingan Najib sebagaimana yang didakwa Khairul Azwan, bahkan juga sama ada benar atau tidak “Tiga Tan Sri”  terbabit telah dikhianati serta siapa yang mengkhianati mereka.
Kenapa mereka dikhianati? Apakah tindakan yang mahu mereka ambil terhadap Najib? Apa dan besar mana kesalahan Najib itu?
Adakah sebelumnya keempat-empat Tan Sri berkenaan sudah bersetuju untuk bertindak terhadap Najib, tetapi kemudian salah seorang daripadanya telah bersikap khianat?
Apakah punca perbuatan khianat itu?
Banyak perkara sebenarnya perlu disiasat oleh pihak polis apabila Tun Mahathir membuka mulutnya untuk kali kedua ini. Khalid sendiri, dalam masa yang sama, tidak seharusnya terus mendiamkan diri saja kerana ia nampaknya bukan saja berkaitan Najib,  nama baik “Tiga Tan Sri”, kebenaran dakwaan yang dibuat oleh Khairul Azwan, tetapi juga tentang dirinya sendiri. (SH 24/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

29 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
29
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x