Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BAGAIMANA MAHU JADIKAN ZAHID HAMIDI PERDANA MENTERI?

Tiba-tiba saja Najib Razak bercakap soal pengganti dan berundur diri. Entah betul, entah tidak dan boleh dipakai cakapnya itu atau sengaja mahu bagi “geli-geli” kepada Zahid Hamidi.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri, tentu Zahid Hamidi dan sekalian penyokong serta pendokongnya merasakan Ahli Parlimen Bagan Datoh itulah calon pengganti bila Najib benar-benar mengundurkan diri.
Tapi bila Najib mahu berundur diri dan benarkah Zahid Hamidi penggantinya yang beliau berjanji tidak akan mengganggunya bila bersara nanti?
Dengan berulang kali mendakwa dirinya Pahlawan Bugis yang pantang mengalah, bukan sekadar ketika layar dikibar dan sauh dilabuh serentak atau sampai tanah berkeping-keping, tetapi juga sehingga halilintar membelah bumi, mustahil Najib akan berundur sebelum pilihanraya umum diadakan.
Berundur sebelum pilihanraya tidak lebih umpama menghadiahkan trofi kemenangan kepada Tun Mahathir secara sukarela.
Namun, jika selepas pilihanraya baru mahu berundur, kemungkinannya sama ada ketika itu BN terus berkuasa atau sudah hilang kuasanya.
Kiranya BN sudah hilang kuasa, memang Najib tidak mungkin berani mengganggu penggantinya, sebaliknya lebih mungkin penggantinya pula yang akan memburunya atas pelbagai skandal yang terpalit kepadanya.
Zahid Hamidi dan semua pemimpin dalam UMNO yang berangan-angan mahu jadi Perdana Menteri,  hanya mampu menggigit jari saja ketika itu.
Kalau BN terus menang pula, siapa pengganti pilihan Najib?
Meskipun sekarang ini Zahid duduk di kerusi nombor dua, majoriti rakyat dan ahli UMNO tidak percaya beliau masih mampu kekal di situ lagi sekiranya Najib terus berkuasa.
Dengan terus memegang kuasa, sekalian yang waras percaya bahawa Najib mampu mengatur pelbagai cara  untuk lebih menonjolkan sepupunya, Hishammuddin Hussein dan dalam masa yang sama membuatkan Zahid Hamidi terpinggir secara perlahan-lahan.
Sebagaimana yang turut diberitahu Najib semalam, banyak perkara yang ingin dilakukannya selepas bersara seperti bermain bola, menulis buku dan melawat negara-negara yang belum pernah dilawatinya. 
Tentu sekali Najib lebih aman dan selesa melakukan semua perkara tersebut jika Perdana Menteri waktu itu ialah sepupunya sendiri.
Jadi, macam mana nak jadikan Zahid Hamidi Perdana Menteri? tanya seorang penyokong Timbalan Perdana Menteri yang kebetulan sempat berbual-bual dengannya malam tadi sambil menikmati sate kambing di sebuah gerai di pinggir ibukota. (SH 19/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

49 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
49
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x