Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

RASUAH DI PEJABAT MENTERI, MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI JUGA JANGAN DILUPA

SPRM semalam telah menahan tiga penjawat awam, termasuk dua daripadanya bergelar Datuk Seri dan Datuk, dalam operasi serentak di Wilayah Persekutuan, Melaka dan Kelantan berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.
Dilaporkan sejumlah RM13 juta wang dalam bentuk simpanan dan akaun amanah, beberapa kereta mewah dan barang kemas turut dibeku dan dirampas. 
Selain itu, sejumlah wang tunai kira-kira RM400 ribu turut ditemui yang disorok di bahagian siling rumah mereka yang ditahan itu.
Jika tangkapan dan serbuan oleh SPRM ini merupakan langkah awal  untuk memerangi rasuah dalam negara secara besar-besaran dan habis-habisan, khususnya di sektor awam, kita seharusnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada agensi tersebut yang kini diketuai oleh peneraju baru, Dzulkifli Ahmad.
Kita mengharapkan lebih banyak lagi tangkapan dan serbuan akan dilakukan dari semasa ke semasa. Kita mahu bukan saja perasuah ikan bilis, ikan kembung dan ikan cencaru yang dibanteras, malah juga dari kalangan ikan jerung dan paus dapat ditangkap.
Jika sektor awam menjadi keutamaan SPRM dalam membanteras rasuah ini, diharapkan mereka tidak lupa untuk mengintai-ngintai salah laku rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram yang mungkin berleluasa di pejabat perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri-menteri, menteri besar dan ketua menteri.
Berbanding pejabat pengarah-pengarah di kementerian, agensi kerajaan atau GLC yang mungkin banyak terdedah kepada amalan jijik dan jahat tersebut, pusat sebenar kepada semua kegiatan itu adalah di pejabat orang-orang politik yang diberikan kuasa mentadbir negara dan negeri.
Bukanlah rahsia, ramai pegawai di pejabat-pejabat menteri, menteri besar dan ketua menteri yang hidup mewah, memiliki banyak kenderaan, simpanan berjuta, nombor plat kereta berangka tunggal dan jika serbuan dilakukan di kediaman atau kondo persinggahan mereka, barangkali lebih daripada RM400 ribu wang tunai yang boleh ditemui.
Di dalam masyarakat umum, perlakuan pegawai-pegawai yang berada di koridor kuasa ini dalam menayangkan kemewahan dan gaya hidup mereka bukanlah asing lagi, bahkan sesetengahnya turut didedahkan dalam media sosial secara meluas.
Di kalangan menteri dan timbalan menteri juga, jika didapati keluarga, anak dan isteri mereka menjalani kehidupan mewah dan luar biasa, SPRM seharusnya turut tidak mengecualikan mereka.
Harta, kekayaan, kediaman, serta wang tunai yang mereka miliki, baik di dalam negara atau luar negara, atas nama isteri, anak-anak atau isteri muda, haruslah juga dikesan dan diselongkar demi kebaikan negara.
Penahanan tiga penjawat awam tersebut yang dilaporkan bakal didakwa hari ini, barangkali merupakan khabar yang gembira kiranya ia  merupakan permulaan dan akan dilakukan secara berterusan dan meluas lagi kepada pelbagai peringkat sesiapa saja yang disyaki melakukan kesalahan.
Oppsss…dalam masa yang sama,  SPRM juga seharusnya tidak lupa untuk menyemak semula kertas siasatan mereka berkaitan dana SRC International yang sebelum ini ditolak untuk pendakwaan oleh Peguam Negara dan kemudian ada pegawai tinggi agensi itu yang kini sudah bersara mengatakan mahu membuat rayuan  atas alasan kes yang mereka siasat adalah “straightforward” saja.
Apa khabar agaknya kes tersebut, jadi dibuat rayuan atau sudah tutup terus? (SH 16/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

34 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
34
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x