Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

BERSATU LEBIH MEMUDAHKAN PERUBAHAN

Pada pilihanraya umum 2013, BN berjaya mengekalkan kuasanya dengan meraih kemenangan di 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat sebanyak 89 kerusi daripada  222 jumlah keseluruhannya.
Daripada 133 kerusi yang dimenangi BN itu, 88 diraih melalui calon-calon UMNO. Ini bermakna jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat hanya lebih satu kerusi berbanding kekuatan UMNO. Banyak kerusi BN disumbangkan melalui Sabah dan Sarawak.
Pada pilihanraya 2008 pula, daripada 140 kerusi yang dimenangi oleh BN, 79 kerusi dimenangi atas tiket UMNO. Berbanding pilihanraya 2008, jumlah kemenangan kerusi UMNO meningkat sebanyak 9 kerusi dalam pilihanraya 2013 lalu.
Di sebalik pelbagai isu melanda Najib Razak dan negara, UMNO pada hakikatnya masih mampu menang banyak kerusi bagi memastikan BN terus berkuasa. UMNO dan parti-parti kompenan BN kecundang di banyak kerusi bandar, separa bandar dan pengundi campuran, tetapi masih dominan di luar bandar, kampung-kampung Melayu serta Felda.
Kemampuan BN menang itu adalah disebabkan UMNO masih dilihat parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu, sesuai dengan komposisi Melayu yang meliputi kira-kira 65 peratus penduduk negara ini. 
Dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang benar-benar bersifat Melayu. DAP pelbagai kaum dan PKR juga pelbagai kaum, sementara Pas adalah parti Islam. 
Oleh kerana tidak ada yang benar-benar memperjuangkan Melayu, di sinilah UMNO mengambil kesempatan. Walaupun wujud pelbagai isu berkaitan Najib dan Rosmah pada pilihanraya 2013, UMNO masih menang banyak kerusi kerana  kejayaannya memanipulasi pengundi luar bandar dengan memainkan sentimen UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.
Sementara pengaruh media sosial memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat dalam konteks pengundi bandar, luar bandar dan campuran, mainan sentimen Melayu dengan dibantu elemen 3M iaitu “money, machinery, media”, telah memberi kelebihan kepada UMNO.
Meskipun kita seharusnya menolak perkauman dan mahu semua rakyat hidup harmoni tanpa mengira agama dan bangsa, realiti politik Malaysia masih jauh untuk bebas daripada hakikat itu. Tambahan lagi, masih banyak kerusi Parlimen dan DUN di negara ini dihuni oleh majoriti pengundi Melayu luar bandar, miskin dan ketinggalan.
Dalan konteks BN, meskipun MCA, MIC dan Gerakan semakin ditolak kerana pengundi bandar, separa bandar dan campuran lebih memihak kepada pembangkang yang kerap memainkan isu rasuah, penyelewengan, pembaziran dan sebagainya, UMNO sebaliknya tetap punya kelebihan di kawasan luar bandar, kampung dan Felda berdasarkan mainan sentimen Melayu sambil dibantu faktor 3M tadi.
Oleh itu, untuk mengalahkan BN dalam PRU 14, penguasaan UMNO haruslah dipecahkan terlebih dahulu. PKR dan Amanah sukar memikul tanggungjawab itu, begitu juga dengan Pas, walaupun parti Islam itu agak dominan di bebarapa kawasan Melayu di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Di sinilah pentingnya BERSATU dan itulah juga sebabnya mengapa BERSATU ditubuhkan dengan bertunjangkan Melayu dan Bumiputera. Walaupun BERSATU bercorak Melayu dan Bumiputera, ia tidak seharusnya dilabel perkauman selagi ia sedia menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan yang mengandungi parti-parti pelbagai kaum serta menghormati hak-hak bangsa lain.
BERSATU tidak lain bertujuan untuk memberi saingan kepada UMNO dan mengurangkan sebanyak mungkin daripada 88 kerusi yang dipegangnya sekarang. Parti-parti lain yang mewakili Pakatan Harapan boleh terus menumpukan kepada kawasan bandar, separa bandar dan juga campuran yang memang merupakan lubuk mereka.
Dengan bantuan pemimpin-pemimpin berpengalaman seperti Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, penguasaan UMNO di luar bandar dan kawasan Melayu lebih mudah dileraikan, lebih-lebih dengan wadah BERSATU yang mirip macam UMNO dan ditunjangi oleh bekas-bekas pemimpin UMNO.
Di Sabah, jika Shafie Apdal bergerak dengan platform “Sabah untuk rakyat Sabah”  yang mirip seperti berlaku di Sarawak yang mana slogan mereka ialah “Sarawak untuk rakyat Sarawak”, beliau tidak mustahil mampu mengurangkan beberapa kerusi UMNO di negeri tersebut.
Yang penting, selain menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, BERSATU melalui pengalaman Tun Mahathir mesti berunding sebaik mungkin dengan Pas dan Amanah bagi memastikan hanya pertandingan satu lawan satu dengan UMNO.
Mesti ada tolak ansur dan berlapang dada dalam perundingan di antara BERSATU, Amanah dan Pas. Yang penting UMNO serta BN mampu dikalahkan dan Najib dapat disingkir keluar dari Seri Perdana.
BN hanya boleh dikalahkan jika penguasaan UMNO terhadap pengundi Melayu dapat dipecahkan. Selagi hanya UMNO yang boleh berkokok tentang Melayu, selagi itulah BN akan berkuasa dan Najib kekal di Seri Perdana. 
Pakatan Harapan dengan disertai oleh BERSATU akan menerima sokongan pengundi Melayu yang jauh lebih baik, tambahan lagi dengan adanya pengaruh Tun Mahathir.
Sebab itu, kehadiran BERSATU mula menimbulkan cuak dan bimbang kepada UMNO dan BN. Bukan saja pemimpin-pemimpin UMNO mula mengatakan orang Melayu tidak perlu sebuah parti lain selain UMNO, bahkan warna merah dan nama BERSATU pun turut memercikkan peluh dingin buat mereka.
Lebih parah, MCA yang bersifat perkauman Cina pun seperti sedang mabuk apabila menolak BERSATU dengan mengatakan wujudnya sebuah lagi parti perkauman Melayu akan memecah-belahkan rakyat negara ini. 
Macam-macam dijadikan alasan untuk menolak kewujudan BERSATU dan ia tidak lain kerana mereka semakin nampak kuasa dalam genggaman bakal terlepas jika BERSATU berjaya memecahkan sedikit saja dominasi UMNO terhadap pengundi Melayu. (SH 13/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

15 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
15
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x