Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB ADALAH ASET KEPADA PEMBANGKANG, JANGAN LAGI DESAK BELIAU BERUNDUR!!

Harus diakui bahawa kemelut politik dalam negara sekarang adalah berpunca daripada Najib Razak. Tidak ada sebab-sebab lain yang menjadi punca kekalutan itu.
Disebabkan beliau menjadi Perdana Menteri, kemudian menubuhkan 1MDB dan tiba-tiba dalam akaun peribadinya ada wang beribu-ribu juta, itulah sebenarnya punca segala masalah yang berlarutan sehingga hari ini.
Jika Najib tidak menubuhkan 1MDB dan tiada wang begitu banyak dijumpai dalam akaun banknya, kemelut dalam UMNO dan negara tidak mungkin jadi seteruk seperti sekarang.
Lebih mungkin tidak timbul segala masalah dalam UMNO dan negara  jika bukan Najib yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009 dahulu.
Tun Mahathir Mohamad barangkali masih bersama UMNO jika tiada 1MDB dan tiada wang terlalu banyak dalam akaun perjbadi Najib. Kalau pun beliau keluar UMNO seperti yang dilakukannya ketika era Tun Abdullah Badawi dahulu, tidak mungkin beliau bertindak sejauh hingga menubuhkan sebuah parti baru dan bersungguh-sungguh pula mahu mengalahkan UMNO yang ditubuhkannya sendiri pada 1988 dahulu.
Segala-galanya adalah kerana Najib, 1MDB dan wang yang begitu banyak dalam akaun peribadi seorang Perdana Menteri. Di bumi dan planet mana sekalipun, pemimpin yang berdiri atas nama demokrasi tidak seharusnya memiliki wang berbilion-bilion dalam akaun peribadi, apatah lagi jika jawapan mengenai kekeliruan wang tersebut tidak jelas dan berbeza-beza.
Sebab itu banyak sejarah telah membuktikan pemimpin yang berkelakuan sebegitu pasti akan tersingkir akhirnya. Rakyat mungkin dapat menerima pemimpin menjadi kaya, tetapi tidak jika melalui sumber yang dipertikaikan.
Sekarang ini isu 1MDB dan wang beribu juta itu telah menyebabkan majoriti rakyat menolak Najib. Bukan saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti dan penyokong parti-parti pembangkang kian lantang menyatakan Najib seharusnya berundur, bahkan pemimpin, ahli dan penyokong UMNO juga ramai yang beperasaan demikian.
Tinggal lagi disebabkan masih ada sisa-sisa sayang kepada UMNO, mereka terus bersama parti itu dan seolah-olah menyokong kepimpinan Najib. Ramai dalam UMNO hanya menyokong Najib secara luaran saja. Mereka sebenarnya lebih menyokong UMNO, bukan Najib. Mereka sedar Najib telah menjadikan UMNO kian tersisih di hati rakyat, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. 
1MDB tidak dinafikan telah menyebabkan nama Najib membusuk di peringkat antarabangsa. Selain tujuh negara sedang menyiasat berkaitan penipuan dan penggubahan wang haram melibatkan 1MDB, Amerika dan Singapura sudah pun bertindak membekukan harta-harta yang dikenalpasti dilakukan melalui aktiviti pencurian.
Di Amerika, meskipun nama Najib tidak disebut, tetapi Malaysian Official 1 yang didakwa menerima AS$731 juta daripada wang 1MDB yang dicuri, telah dinyatakan dengan jelas dan terang-terangan oleh Jabatan Kehakiman AS.
Dengan ini, untuk tempoh enam bulan atau setahun akan datang, kita sudah boleh membayangkan tindakan-tindakan di peringkat antarabangsa terhadap 1MDB yang secara tidak langsung akan menyebabkan nama Najib akan terkait sama.
Jika dengan apa yang berlaku sekarang pun sudah menyebabkan nama Najib dibenci dan sokongan terhadapnya jelas semakin berkurangan, bayangkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN jika bersilih-ganti tindakan perundangan dan penangkapan oleh negara luar turut berlaku nanti?
Meskipun Najib masih mahu bertahan dengan jawatannya dan berulangkali mengatakan beliau tidak bersalah, malah sudah dibersihkan oleh Peguam Negara Malaysia, sokongan rakyat tidak mungkin bertambah baik sekiranya beberapa negara mula mengambil tindakan.
Oleh itu, memaksa Najib berundur sudah tidak bermakna lagi ketika ini. Yang  lebih afdal ialah UMNO dan BN harus dikalahkan melalui pilihanraya, sesuai dengan parti baru yang sudah pun ditubuhkan dan akan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Najib adalah aset kepada BERSATU dan Pakatan Harapan untuk mencapai cita-cita mengambil alih pentadbiran dan memulihkan imej negara. Tanpa Najib, kelebihan untuk mengalahkan UMNO dan BN mungkin sudah tiada atau akan berkurangan dalam PRU 14 nanti. (12/08/2016).

22 responses to “NAJIB ADALAH ASET KEPADA PEMBANGKANG, JANGAN LAGI DESAK BELIAU BERUNDUR!!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *