Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PARTI BERSATU SUKAR DILULUSKAN?

Kemungkinan kelulusan pendaftaran parti BERSATU akan melalui jalan sukar  adalah hakikat yang barangkali harus diterima oleh Tun Mahathir Mohamad yang mengharapkan melalui parti baru itu dapat menyingkirkan Najib Razak pada pilihanraya umum akan datang.
Sekurang-kurangnya dua alasan bakal menjadi halangan parti itu daripada diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan:-
– Logonya yang menggunakan bunga raya sebagai logo rasmi. Bunga raya adalah bunga kebangsaan dan penggunaannya mungkin tidak dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan ke atas mana-mana parti politik, lebih-lebih lagi yang jelas bersifat untuk menumbangkan UMNO dan menyingkirkan Perdana Menteri.
– Penggunaan singkatan perkataan BERSATU daripada nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. 
Walaupun Tengku Adnan Tengku Mansor mengemukakan bantahan terhadap penggunaan perkataan “bersatu”  itu atas alasan ia perkataan yang sering digunakan umum dan mungkin mengelirukan orangramai, sebab sebenar ialah kerana lagu rasmi UMNO sendiri banyak menggunakan perkataan “bersatu”, selain slogan UMNO pula ialah “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”.
Jika parti BERSATU diluluskan, ia tentunya bakal menjadi gangguan jiwa kepada UMNO kerana setiap kali ahli-ahlinya menyanyikan lagu UMNO, mereka secara tidak langsung sedang mempromosikan parti baru tersebut.
Ia juga membuatkan pemimpin-pemimpin UMNO, khususnya Najib Razak sentiasa keberatan untuk membuka mulut bagi sama-sama menyanyi ketika lagu itu didendangkan.
Dengan itu, sesuai dengan bantahan yang dikemukakan oleh Ku Nan, pemimpin nombor tiga paling berkuasa dalam UMNO itu, besar kebarangkaliannya adalah  pendaftaran BERSATU tidak akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Ia dalam masa yang sama akan memaksa jawatankuasa penaja BERSATU untuk menukar logo bunga raya itu dan memilih singkatan perkataan lain selain daripada BERSATU sebagai singkatan untuk namanya.
Penggunaan perkataan “bersatu”  untuk nama parti mungkin tidak menjadi masalah kerana UMNO sendiri bermakna Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan PBS pula adalah singkatan Parti Bersatu Sabah, tetapi penggunaan nama BERSATU sebagai sebutan harian sesebuah parti yang merupakan saingan UMNO dan menyebabkan pula UMNO menyebutnya berulang-ulang dalam nyanyian, mungkin sukar untuk dibenarkan.
Barangkali, jika bukan bunga raya sebagai logonya dan singkatan nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipilih juga hanya PPBM misalnya, maka ketika ini pasti sedang tersenyum simpullah sekalian pimpinan UMNO menyambut kehadiran parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir itu. (SH 11/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

55 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
55
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x