Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

"KALAU 'SAMPAH' JADI PRESIDEN UMNO, MAKA 'SAMPAH' JUGALAH PERDANA MENTERI KITA DAPAT"

Ramai yang bertanya, apa baiknya apabila sebuah lagi parti baru iaitu BERSATU diwujudkan?
Beberapa yang lain pula menanyakan, apa kelebihannya kepada Pakatan Harapan apabila BERSATU bekerjasama dengannya?
Sebagai parti politik yang akan ditunjangi oleh nama-nama besar seperti Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan lain-lain dengan iltizam untuk melakukan perubahan, bukan saja kepada kepimpinan negara, tetapi juga restormasi dalam sistem pentadbiran kerajaan, kewujudan BERSATU tentu saja banyak manfaatnya untuk rakyat.
Ia tidak semata-mata untuk merubah atau menyingkirkan Najib Razak, malah juga mahu memperbaiki mana-mana sistem yang telah rosak atau yang telah disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Dengan itu, jika kita merasakan negara di bawah kepimpinan Najib sejak tujuh tahun yang lalu begitu memalukan dengan pelbagai masalah dan onar yang ditimbulkannya, inilah masanya yang terbaik untuk melangkah ke hadapan dan sama-sama memperbaikinya.
Berdasarkan apa yang telah Najib lakukan untuk mengukuhkan kuasanya sejak timbul isu 1MDB dan skandal kewangan melibatkan dirinya, hanya pilihanraya satu-satunya jalan untuk melakukan perubahan dan pemulihan dalam negara ini.
Jika perubahan tidak dilakukan pada PRU 14 akan datang, percayalah bahawa sebarang perubahan akan menjadi lebih sukar, bahkan boleh jadi mustahil untuk dilakukan selepas itu.
Melalui kerjasama yang diwujudkan antara BERSATU dengan Pakatan Harapan pula, ia sekaligus menjadikan gabungan itu lebih baik dan lebih lengkap berbanding BN.
Dalam BN, seperti mana yang kita maklumi, jawatan Perdana Menteri adalah milik UMNO dan parti-parti komponen BN lain tidak berhak sama-sekali untuk jawatan tersebut.
Siapa yang jadi Presiden UMNO, maka dialah yang automatik akan menjadi Perdana Menteri. Ini menjadikan, jika  “sampah” sekali pun yang jadi Presiden UMNO, maka “sampah” jugalah yang rakyat akan dapat sebagai Perdana Menteri. Ia muktamad dan tidak ada pilihan.
Berbanding Pakatan Harapan, calon Perdana Menteri mereka boleh datang daripada PKR, DAP, Amanah atau BERSATU. Ia tidak menjadi hak kekal sesuatu parti sahaja.
Sudah tentu, oleh kerana komposisi orang Melayu mewakili lebih 65 peratus daripada penduduk Malaysia, calon Perdana Menteri yang sesuai mestilah daripada calon Melayu juga. Ahli Parlimen Cina pun tidak mungkin sedia untuk meniadi Perdana Menteri kerana mereka sedar kesukaran yang bakal dihadapi jika diberikan jawatan tersebut.
Ia seperti di Pulau Pinang, oleh kerana Cina majoriti di di negeri itu, baik BN atau Pakatan Harapan yang berkuasa, calon Cinalah yang sesuai sebagai Ketua Menteri.
Ia bermakna, jika Pakatan Harapan menang PRU 14 akan datang, rakyat akan mendapat pilihan calon Perdana Menteri yang lebih baik berdasarkan konsensus parti-parti dalam gabungan tersebut.
Jika calon daripada PKR yang dirasakan lebih baik dan sesuai, maka wakil parti itulah yang akan jadi Perdana Menteri. Begitu juga jika calon BERSATU atau Amanah yang difikirkan lebih layak dan dipersetujui, merekalah pula yang akan menjadi Perdana Menteri.
Tidak terkecuali, jika ada calon Melayu daripada DAP yang benar-benar layak dan lebih baik berbanding calon-calon lain, tidak mustahil mereka juga boleh mengisi jawatan Perdana Menteri itu.
Pokoknya, ia bukan mutlak milik sesuatu parti sebagaimana dalam BN. Meskipun begitu, calon Perdana Menteri itu tetap Melayu, sesuai dengan kedudukan Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini.
Konsensus dalam memilih calon Perdana Menteri itu tidak saja menjadikan rakyat akan mendapat calon Perdana Menteri yang “terbaik daripada yang baik-baik”, malah kedudukan parti-parti yang hampir seimbang dalam Pakatan Harapan akan menjadikan “check and balance” lebih berfungsi dengan baik dan tiada sesiapa boleh berbuat sesuka hati atas kuasa yang dimiliki.
Tidak seperti UMNO yang mendominasi BN, bukan saja BN itu seperti milik mereka, lihatlah lagak-lagak orang-orang UMNO, negara ini pun seperti hanya mereka yang punya.
Tanpa keraguan, dengan wujudnya BERSATU, inilah masa yang tepat  untuk orang-orang Melayu dan rakyat seluruhnya berhijrah dan meninggalkan UMNO serta BN, seterusnya menjadikan Pakatan Harapan sebagai payung baru yang lebih kukuh untuk sama-sama bernaung. (SH 10/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

26 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
26
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x