Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MUSIM PEMIMPIN UMNO MENGAUTAKAN ORANG MELAYU

Daripada 1 Ogos hingga 15 September depan, semua UMNO bahagian akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing. Pemimpin tertinggi UMNO, khususnya yang berjawatan menteri dan timbalan menteri akan bertebaran pada setiap hujung minggu untuk melakukan perasmian di sana sini.
UMNO bahagian yang  tertentu pula, mungkin bernasib baik dapat menjemput Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikannya.
Selain kehadiran pemimpin itu bertujuan untuk melakukan perasmian, udang di sebalik batunya ialah untuk menonjolkan kepimpinan dan meraih undi bagi pemilihan UMNO yang akan datang. Ada yang ingin mengekalkan jawatan, ada juga yang mahu naik lebih tinggi daripada jawatan sekarang.
Maka, ucapan bercorak mempertahankan Melayu dan mengecam Cina adalah lumrah yang biasa kedengaran. Tun Mahathir yang akan menubuhkan parti baru serta mereka yang keluar UMNO, pasti sekali akan menjadi kecaman ramai kali ini.
Dalam masa yang sama, UMNO akan digambarkan sebagai parti yang terbuka, sedia menerima kritikan, manakala yang meninggalkan parti dilabel sebagai penderhaka kepada Melayu.
Oleh kerana tahun ini juga panas dengan isu saman Jabatan Kehakiman AS, isi-isi ucapan akan dilebarkan lagi kepada mengajak orang Melayu untuk mempertahankan negara daripada campurtangan negara asing.
Memandangkan pemimpin yang bercakap itu memakai baju Melayu, bersongkok dan lengkap bersampin, malah ada juga memakai tengkolok, maka bertepuk soraklah yang mendengarnya seolah-olah mereka itulah penyelamat Melayu.
Sedarlah wahai Melayu, sebenarnya mereka itulah pengauta Melayu.
Di sebalik bercakap berkenaan Melayu, menjaga Melayu, hak Melayu mesti dipertahankan dan sebagainya, siapakah di antara pemimpin-pemimpin Melayu tersebut yang tidak ada tauke Cina di belakang mereka?
Siapakah yang menjadikan tanah rizab Melayu semakin pupus sejak puluhan tahun lalu?
Siapakah yang menjual IPP, tanah 1MDB, memberi kontrak berpuluh ribu juta kepada negara China serta tunduk kepada kemahuan Singapura dalam beberapa perkara yang mahu dilakukan di negara sendiri?
Jika tindakan Jabatan Kehakiman AS cuba digambarkan kononnya sebagai percubaan campurtangan asing, siapakah yang menjemput APCO, meletakkan pegawai orang putih di Jabatan Perdana Menteri, menandatangani TPPA dan bangga bermain golf dengan Barack Obama?
Sementara rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih kepada AS kerana tindakan mereka itu bertujuan mengembalikan harta curi kepada kita, pemimpin yang bersongkok dan berbaju Melayu tadi dalam masa yang sama seolah-olah mahukan kita menyokong aktiviti pencurian dan penyamunan melakukan pencucian wang dengan membeli harta-harta di luar negara.
Yang kelakar, Najib sendiri lupa apa yang telah dilakukannya. Setelah membuang, menggantung dan memecat mereka yang menegur dan mengkritiknya, di Selangor semalam, beliau berkata, perbezaan pendapat bukanlah  sebab mereka perlu menolak UMNO yang telah berjasa besar kepada negara.
Janganlah disebabkan perbezaan pendapat, kita boleh tolak parti yang begini besar jasanya. Kalau tak setuju, buatlah secara proses dalam parti, kata beliau.
Apakah Najib lupa, daripada timbalan presiden UMNO sehingga kepada ketua cawangan, habis semua digantung atau dipecat hanya kerana menegurnya secara dalaman?
Kenapa baru sekarang bercakap soal proses dalam parti?
Selain itu, dulu ramai pemimpin UMNO yang mengatakan agar menunggu pilihanraya jika ingin menyingkirkan Najib, kini setelah Tun Mahathir menubuhkan parti baru dan semakin hampir ke arah itu, mereka yang sama berlainan nada dengan menyatakan, tindakan tersebut hanya akan memecah-belahkan rakyat dan terbukti mahu menjatuhkan kerajaan.
Adakah suatu kesalahan menjatuhkan kerajaan melalui pilihanraya?
Apakah menjatuhkan Najib bermakna tumbang Melayu dan tumbang UMNO bermakna jatuh Melayu?
Inilah antara auta-auta kepada Melayu dinseluruh negara sepanjang mesyuarat perwakilan UMNO tahun ini.
Menjelang tarikh akhir mesyuarat perwakilan UMNO pada 15 September nanti, pasti macam-macam lagi pengautaan akan terus kedengaran untuk melekakan orang Melayu yang dilakukan oleh pemimpin yang berwajah seperti duit syiling, depan Melayu lain penampilannya, depan tauke Cina dan depan Obama lain pula rupa wajahnya.
Hakikatnya, pemimpin-pemimpin UMNO adalah jenis manusia yang tidak pernah melihat cermin untuk melihat perilaku mereka sendiri. (SH 07/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

26 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
26
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x