Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SATU LAWAN SATU – FORMULA SEBENAR TERLETAK PADA PAS

Dengan tidak semena-mena, tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba saja Ketua Pengarah Pilihanraya Pas, Mustaffa Ali tampil mencadangkan agar parti-parti pembangkang mencari formula pertandingan satu lawan satu menentang BN menjadi kenyataan dalam PRU 14 akan datang.
Kata beliau, berdasarkan kajian dan analisis Jabatan Pilihanraya Pas atau JPP Pusat, pertandingan satu lawan satu adalah cara terbaik untuk menghilangkan kuasa BN yang memerintah negara sekarang ini. 
“Kalau pertandingan melawan BN lebih daripada satu lawan satu, ia memberi laluan mudah untuk BN terus berkuasa.
“Ini tidak bagus kerana akan menjadikan UMNO dan BN lebih angkuh serta terus melakukan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang melemaskan rakyat,” katanya lagi.
Apakah saranan ini merupakan kesedaran Mustaffa Ali dan JPP Pusat saja atau kesedaran yang sudah menyelinap ke dalam diri seluruh  pimpinan Pas, termasuk Hadi Awang dan juga Dr Haron Din?
Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh Mustaffa Ali itu bukanlah perkara baru atau asing bagi parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan serta di kalangan rakyat yang inginkan perubahan.
Pakatan Harapan telah melontarkan idea pertandingan satu lawan itu ketika pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar dulu lagi berikutan sedar bala daripada pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya negeri Sarawak sebelum itu.
Tetapi, siapakah  yang awal-awal menolak untuk berkompromi?
Siapakah yang beria-ia mengatakan Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kerusi tradisi milik mereka yang kononnya telah ditandingi sejak merdeka lagi, walaupun tidak pernah memenanginya?
Jika Pas ingin merealisasikan formula pertandingan satu lawan satu menentang BN menjadi kenyataan, yang paling awal perlu mereka dilakukan ialah sentiasa berlapang dada, berunding dengan kepala yang dingin dan jangan meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum perundingan dimulakan.
Dalam suasana sekarang, kiranya benar ada semangat untuk bekerjasama, ingin pertandingan satu lawan satu dan betul-betul mahu menumbangkan BN, Pas harus menerima realiti yang ada di depan mata iaitu DAP dan Amanah ialah sebahagian daripada Pakatan Harapan serta menyambut baik kehadiran parti baru tajaan Tun Mahathir Mohamad.
Pas tidak boleh misalnya, hanya ingin bekerjasama dengan PKR sahaja, tetapi enggan sama sekali duduk semeja berunding atau berkompromi dengan DAP dan Amanah.
Begitu juga, Pas tidak boleh jika hanya mahu bekerjasama dengan PKR serta parti baru Tun Mahathir semata-mata, sebaliknya bertindak membelakangkan DAP dan Amanah.
Berdasarkan realiti politik semasa dan komposisi pelbagai kaum dalam negara, kehadiran semua parti haruslah diterima seadanya, dihormati dan dengan berlapang dada.
Soal perbezaan ideologi dan pembahagian kerusi mesti ditangani dengan sebaik-baiknya, kiranya benar UMNO dan BN adalah musuh utama yang mahu ditumbangkan dan rakyat ingin dibela.
Jika dilihat berdasarkan senario di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pakatan Harapan memang sedia untuk berbincang bagi mencari formula agar pertandingan satu lawan satu menjadi kenyataan, malangnya ketika itu Pas yang lebih berkeras untuk meletakkan calon di kedua-dua kerusi tersebut tanpa mahu berganjak walau sedikit pun.
Maka itu, untuk PRU 14 akan datang, formula sebenar bagaimana merealisasikan pertandingan satu lawan satu itu lebih banyak terletak kepada Pas. Pakatan Harapan dan parti baru Tun Mahathir barangkali lebih terbuka dalam perundingan dan perbincangan kerana yang utama bagi mereka ialah UMNO dan BN dapat dikalahkan.
Jika Pas sedia melembutkan hati sendiri, menerima realiti dalam bekerjasama dan tidak terlalu keras untuk tetap bertanding di semua kerusi tradisi, termasuk kerusi tradisi kalah, hasrat satu lawan satu menentang BN dan kemudian sama-sama menubuhkan kerajaan lebih mudah untuk dicapai.
Yang penting bukan banyak mana kerusi hendak ditandingi, tetapi berapa kerusi yang boleh dimenangi. (SH 04/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

58 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
58
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x