Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

JIKA ADA HARGA DIRI, AZWANBRO PERLU LETAK JAWATAN AHLI MT DAN NAIB KETUA PEMUDA UMNO

Sekarang sudah sah dan sahih bahawa laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam Negara, Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz adalah tidak benar dan hanya berdasarkan andaian.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar semalam, Khairul Azwan atau Azwanbro tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong laporan polis yang dibuatnya pada 26 Julai lalu.
Dalam erti kata lain, laporan polis terhadap tiga Tan Sri itu juga boleh dianggap sebagai laporan palsu dan  menurut seorang peguam, Syahredzan Johan, ia adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Kata Syahredzan lagi, memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang yang boleh mendatangkan kegusaran atau bencana kepada orang orang lain adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Mungkin seseorang perlu membuat laporan polis dalam hal ini.
Sebelum itu, Najib Razak selaku Presiden UMNO menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Azwanbro adalah atas kapasiti peribadinya dan bukan parti.
Susulannya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengatakan tindakan naibnya adalah bersifat individu dan tidak mewakili pendirian sayap kanan parti itu.
Tetapi, di dalam UMNO, Khairul adalah Naib Ketua Pemuda dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.
Dalam hal ini, terbukti bahawa sebelum pun laporannya itu disahkan oleh pihak polis sebagai tidak benar, hanya berdasarkan andaian dan tiada bukti dapat ditunjukkan, UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO sudah mula menjauhkan diri daripadanya.
Kecuali jika Azwanbro ingin terus bertahan dengan pendiriannya dan sedia menunjukkan bukti-bukti yang ada dalam tangannya, beliau bukan saja harus meminta maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga Tan Sri yang telah dicemarkan namanya itu, malah mesti juga meletakkan jawatannya daripada UMNO dengan segera.
Selepas membuat laporan polis, beliau sudah dijauhi oleh UMNO dan Pergerakan Pemuda yang merupakan payung kepadanya dan sebaik disahkan laporannya hanya berdasarkan andaian, bermakna jawatan dan kedudukannya jadi tidak berharga lagi.
Meletak jawatan dan berundur, sekurang-kurangnya menjadikan beliau manusia yang ada prinsip dan harga diri. (SH 03/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

37 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
37
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x