Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

PARTI BARU, TUN M SENDIRI AKAN PERGI KE PENDAFTAR PERTUBUHAN

Perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia sekarang ialah bilakah parti baru yang mahu ditubuhkan oleh Tun Mahathir Mohamad akan menjadi kenyataan.
Sehingga ini bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu difahamkan telah mengadakan beberapa pertemuan serta perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan mengenainya, malah hasrat menubuhkan parti baru itu turut dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan.
Tidak saja Pakatan Harapan menyambut baik kewujudan parti baru itu serta menyatakan kesediaan untuk saling bekerjasama, malah Anwar Ibrahim yang sedang berada di penjara juga turut sama mengalu-alukannya.
Tun Mahathir, Muhyddin Yassin dan Mukhriz Mahathir pula sudah beberapa bercakap mengenai parti baru itu yang bukan saja ditubuhkan untuk menyaingi UMNO, bahkan diyakini mampu menumbangkannya.
Setelah masa kian berlalu, bilakah parti baru itu akan menjadi kenyataan?
Esok? Minggu depan? Bulan depan? Tahun hadapan?
Semua dalam debaran.
Bukan saja rakyat ternanti-nanti, malah pemimpin-pemimpin UMNO juga sedang berdebar-debar menunggunya.
Jika dilihat berdasarkan komen-komen melalui media, pemimpin UMNO yang “lurus bendul”  akan berterus-terang mengatakan parti baru itu tidak perlu diwujudkan kerana akan memecah-belahkan rakyat, perjuangan Tun Mahathir yang dulunya hanya mahu menyingkirkan Najib sudah tersasar jauh dan pelbagai lagi nada yang mirip sepertinya.
Tetapi, bagi pemimpin yang “malu-malu kucing”  dan ingin menutup kerisauan dalam hati, mereka akan berkata, parti baru itu akan menambahkan perpaduan ahli-ahli UMNO, memberi motivasi untuk UMNO lebih berjaya, UMNO tetap keramat di hati rakyat dan seumpamanya lagi.
Hakikatnya, baik yang “lurus bendul” atau yang “malu-malu kucing”, mereka sedar akan kemampuan dan daya fikir Tun Mahathir dalam mengalahkan musuh-musuh politiknya.
Lalu, kenapa sehingga sekarang masih belum ditubuhkan lagi parti baru itu?
Apakah Tun Mahathir akan membuat pendaftaran baru atau mengambil alih mana-mana parti yang tidak aktif dengan menukar nama dan perlembagaannya?
Meskipun Tun Mahathir  lebih digalakkan mengambil alih mana-mana parti yang sudah wujud dan tidak aktif kerana ia lebih menjimatkan masa, bahkan sudah bertemu dengan beberapa pemilik yang sedia berbuat demikian, bekas Perdana Menteri itu dikatakan mempunyai pertimbangan lain setakat ini.
Tun Mahathir difahamkan lebih berminat untuk mendaftar sebuah parti politik baru di mana beliau bersama ahli jawatankuasa penajanya akan pergi sendiri ke pejabat Pendaftar Pertubuhan bagi maksud tersebut.
Tujuan Tun Mahathir pergi sendiri itu bukan saja untuk menunjukkan kepada rakyat kesungguhannya untuk menumbangkan UMNO dan BN, malah untuk melihat sejauh mana kerajaan benar-benar bersikap terbuka, demokratik dan sedia meluluskan parti baru tersebut.
Difahamkan sehingga ini itulah pilihan utama Tun Mahathir berkenaan parti baru itu. Hanya jika pendaftaran itu ditolak atau tidak diluluskan, barulah pilihan lain akan dilakukan. 
Namun demikian, meskipun Tun Mahathir akan menjadi penggerak utama penubuhan parti baru itu, beliau tidak akan memegang apa-apa jawatan, jauh sekali untuk bertanding semula dalam pilihanraya akan datang.
Hampir pasti parti itu akan diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Mukhriz sebagai pemimpin nombor duanya, sementara Shafie Apdal akan menubuhkan sebuah parti lain yang berkonsepkan “Sabah untuk rakyat Sabah.”
Tun Mahathir hanya akan menjadi penasihat serta pembimbing kepada pemimpin-pemimpin baru yang bakal mengambil alih pentadbiran negara bersama-sama dengan Pakatan Harapan. (SH 02/08/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

31 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
31
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x