Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB TAK FAHAM ATAU CUBA NAK PERDAYA MAKCIK FELDA?

Agak menjengkelkan mendengar reaksi terbaru Najib Razak mengenai saman sivil yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS untuk menyita harta-harta bernilai RM4,000 juta yang dipercayai berasal daripada dana 1MDB yang telah dilencongkan.
Setelah reaksi pertamanya menyatakan kerajaan sedia memberi kerjasama berhubung saman sivil itu dan kemudian mahukan semua yang dinamakan, termasuk anak tirinya Riza Aziz, membersihkan nama masing-masing, kali ini Najib menyatakan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman AS itu.
Katanya, 1MDB tidak mempunyai kaitan dengan saman sivil itu memandangkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak dinamakan sama sekali.
Dalam saman tersebut, 1MDB tidak dinamakan. Jadi, secara langsungnya 1MDB tidak terlibat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO.
Tambah Najib lagi, saman tersebut juga tidak menyebut 1MDB mempunyai aset di AS, selain tidak mengambil pandangan mana-mana daripada 1MDB atau pun pihak berkuasa di Malaysia.
Apa yang Najib cuba gambarkan kepada rakyat dengan reaksinya yang sedemikian rupa itu?
Adakah Najib mahu menggambarkan 1MDB tidak bersalah dan AS sebenarnya yang salah?
Adakah Najib tidak faham mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS itu atau ini satu lagi percubaan untuk memperdaya pakcik kampung dan makcik Felda tentang putih bersihnya 1MDB itu?
Dalam kes saman sivil tersebut, adalah jelas disebut harta-harta itu mahu disita kerana kerana ia dipercayai dibeli dengan menggunakan wang 1MDB yang dilencongkan. Harta-harta bernilai RM4,000 juta itu dibeli sebagai kaedah mencuci wang haram atau penggubahan wang daripada 1MDB yang pihak AS dapat kesan berjumlah RM14,000 juta atau AS$3.5 bilion.
Empat pemilik harta yang disebut itu ialah Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy.
Dalam hal ini, memanglah nama 1MDB tidak disebut dalam saman sivil yang difailkan kerana 1MDB adalah mangsa kecurian. Apabila mahu menyita harta, yang dinamakan sudah tentu yang disyaki pencurinya, bukan pihak yang kena curi. 
Mereka yang dipercayai mencuri duit 1MDB itulah yang membeli harta-harta, membuat filem, berjudi dan sebagainya dengan wang tersebut. Oleh itu, siapa pun faham 1MDB memang tiada harta di AS, tetapi daripada wang 1MDB yang dicuri itulah mereka membeli pelbagai harta.
Tetapi adakah 1MDB tidak terlibat?
Jangan lupa, dalam kenyataan Peguam Negara AS , Loretta Lynnh itu juga beliau menyebut tentang komplot mencuri wang 1MDB dan ia didakwa dilakukan berkali-kali.
Apabila disebut komplot, bermakna ada pakatan tertentu yang dilakukan melibatkan pihak-pihak dalam 1MDB sendiri untuk menjayakan pencurian wang  itu. Sebab itu, pihak AS mengesan wang yang dicuri ialah sebanyak AS$3.5 bilion atau RM14,000 juta manakala Laporan Audit pula mengesan jumlah pengaliran wang yang tidak dapat disahkan berjumlah AS$7 bilion atau RM28,000 juta.
Bermakna, adalah tidak tepat untuk Najib mengatakan 1MDB tidak terlibat dalam saman Jabatan Kehakiman AS itu. Lagi pun, ini baru peringkat permulaan, selepas saman sivil dilakukan dan harta-harta dapat disita bagi mengelakkan mereka yang disebut namanya itu mencairkan harta-harta tersebut, ia pasti akan disusuli dengan saman jenayah akhirnya.
Hakikatnya, bukan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan Jabatan Kehakiman itu, bahkan 1MDB adalah punca segala-galanya. Melalui 1MDBlah munculnya Jho Low dan kemudiannya wujud pula PetroSaudi, IPIC, Khadem, Mohamed Al-Badawy, Riza Aziz dan pelbagai nama yang lain.
Dalam maklumat Jabatan Kehakiman AS dan FBI itu juga mereka mempunyai maklumat bahawa Malaysian Official 1 turut menerima wang yang dipercayai bersumberkan 1MDB dengan jumlah keseluruhan sebanyak AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya di Ambank.
Maka, berhentilah cuba menyucikan 1MDB dengan mengatakan ia tidak terlibat dan tidak mempunyai aset di AS. 1MDB adalah punca segala masalah yang sedang berlaku ini.
Tanpa 1MDB,  tiadalah kita kenal kleptokrasi. (SH 29/07/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

51 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
51
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x