Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MADAH BERHELAH PEMUDA UMNO

Semalam, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat tidak menyatakan dengan jelas pendirian sayap kanan parti itu sama ada menyokong dan mempertahankan Najib Razak atau tidak.
Sebaliknya,  beliau hanya mengatakan Pergerakan Pemuda UMNO mahukan kebenaran, sambil berharap kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS terhadap aset-aset yang dikaitkan dengan 1MDB dapat diteruskan di mahkamah.
Serentak dengan itu, Khairy atau KJ juga mengatakan pihaknya turut memandang serius segala dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS itu kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar yang didakwa diselewengkan.
Oleh itu, kita harap proses saman sivil itu akan berjalan supaya kita dapat kepastiannya, jelas beliau lagi.
Hari ini pula, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed,  bekas Peguam Negara,  Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz atas dakwaan terbabit dalam konspirasi mahu menjatuhkan Najib dan kerajaan.
Dalam laporannya, beliau mengesyaki ketiga-tiga mereka telah memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar seperti FBI, tanpa kelulusan pihak berkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara.
Mengapa Pemuda UMNO tiba-tiba membuat laporan polis sedangkan baru semalam mengatakan sedia menunggu perbicaraan di mahkamah untuk mengetahui kebenaran?
Adakah ia bertujuan mahu mempertahankan Najib atau supaya lebih banyak perkara lain yang terbongkar kepada umum dan seterusnya memberi tekanan berterusan kepada Perdana Menteri?
Adalah sukar untuk mempercayai bahawa tokoh-tokoh berwibawa seperti Abu Kassim, Abdul Gani dan Zeti sanggup berkonspirasi, memberikan maklumat dan dokumen kepada pihak luar secara tidak sah seperti yang didakwa itu.
Lagi pun, baru dua hari lalu Abu Kassim mengesahkan kerjasama SPRM dengan FBI berhubung siasatan mengenai 1MDB.
Oleh sebab pihak AS meminta pertolongan dan kita hanya menjalankan kerja sepertimana yang digalakkan dalam Konvensyen Pencegahan Rasuah, PBB yang menyebut mana-mana agensi perlu memberi kerjasama dan sokongan apabila berhadapan dengan jenayah melibatkan beberapa negara, ujar Abu Kassim lagi.
Jika begitu, sudah pasti, jika ada, segala maklumat dan dokumen yang diberikan oleh SPRM kepada FBI, ia adalah sesuatu yang sah untuk mencegah jenayah dan bukannya konspirasi.
Yang nyata, dengan laporan polis itu,  Pemuda UMNO telah berjaya dari segi menghangatkan lagi isu saman Jabatan Kehakiman AS terhadap aset-aset berkaitan 1MDB agar terus dispekulasi dan dibuat bermacam-macam persepsi oleh orangramai, walaupun KJ tidak muncul di balai polis untuk sama-sama membuat laporan.
Dalam masa yang sama, dengan membuat  laporan polis juga, walaupun ia kelihatan seolah-olah mahu melindungi dan membela Najib, ia juga seperti pengesahan terbuka terhadap tanggapan umum bahawa maklumat yang ada di tangan FBI itu adalah benar-benar kukuh dan boleh dipercayai.
Dengan melibatkan tiga tokoh yang pernah mengetuai SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara dalam dakwaan terbabit konspirasi mahu menjatuhkan Najib yang mana ketiga-tiganya pernah bekerjasama dalam menyiasat isu-isu berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta, tetapi tidak sampai kepada proses pendakwaan kerana ditolak oleh Peguam Negara Apandi Ali, laporan polis itu juga secara tidak langsung seperti serampang dua mata bertujuan merangsang mereka yang terbabit mengesahkan sejauh mana kebenaran kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS itu.
Jika itu berlaku, bertambah lagilah sengsara jiwa Najib mendepani hari-hari mukanya.
Tidak seperti banyak pihak lain pro Najib yang secara lurus bendul mempertikaikan tindakan Jabatan Kehakiman AS dan FBI seperti mengatakan ia cubaan campurtangan asing dan sebagainya, Pemuda UMNO nampaknya memilih simpang lain yang penuh helah dengan meletakkan isu perbicaraan saman sivil itu lebih daripada sekadar membongkar kebenaran semata-mata.
Apakah ini menandakan usaha menyingkirkan Najib secara dalaman sudah bermula secara perlahan-lahan? (SH 26/07/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

55 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
55
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x