Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB KIAN TERKEPUNG DENGAN TINDAKAN PENYITAAN AMERIKA

SAH DAN SAHIH – Agensi berita antarabangsa, Reuters melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah memfailkan tindakan undang-undang untuk menyita berpuluh-puluh hartanah yang dikaitkan dengan kesalahan penyalahgunaan dana 1MDB.
Nilai hartanah yang akan disita bernilai kira-kira AS$1 bilion atau lebih  RM4,000 juta, manakala dana 1MDB yang dipercayai diselewengkan dalam penyiasatan AS adalah berjumlah AS$3.5 bilion atau kira-kira RM14,000 juta.
Tindakan undang-undang yang difailkan menyebut, kesalahan itu didakwa berlaku dalam tempoh empat tahun dan melibatkan beberapa individu, termasuk dari Malaysia dan rakan sekutunya yang berkomplot untuk menipu bagi memindahkan berbilion ringgit wang kepunyaaan 1MDB.
Antara nama yang disebut dalam penyitaan hartanah itu ialah anak tiri Najib, Riza Aziz,  tangan penting dalam menguruskan pelaburan 1MDB, Jho Low dan Khadem Al-Qubaishi serta Mohamed Badawy Al-Husseiny daripada Abu Dhabi.
Bagaimanapun, tiada nama Najib disebut dalam tindakan undang-undang yang difailkan oleh Jabatan Keadilan itu.
Meskipun tiada nama Najib disebut atau dikaitkan dalam tindakan undang-undang oleh Jabatan Kehakiman AS itu, tetapi dengan adanya nama Jho Low dan anak tirinya, Riza Aziz terpampang nyata, bagaimanakah Najib mahu memisahkan dirinya daripada semua skandal itu?
Jho Low, melalui pengesahan oleh Bank Negara adalah pemilik Good Star Ltd yang melalui syarikat itu telah dipindahkan wang 1MDB sebanyak AS$1.03 bilion atau lebih RM4,000 juta.
Riza pula, anak Rosmah daripada perkahwinan terdahulu, secara tiba-tiba mampu menerbitkan filem dengan kos ratusan juta di Hollywood serta membeli dua hartanah mewah di AS dan satu lagi di London.
Tidak sekadar merupakan pencatur dalam pelaburan 1MDB sejak ditubuhkan, Jho Low juga pernah bercuti di atas kapal mewah yang turut disertai Najib dan keluarganya.
Jho Low dan Riza juga difahamkan telah berkawan lama sejak mereka sama-sama belajar di universiti di AS lagi.
Sekurang-kurangnya dari segi moral dan logik akal, Najib sedang “terkepung”  dengan adanya nama Jho Low dan Riza Aziz disebut dalam tindakan undang-undang oleh Jabatan Keadilan AS itu.
Terlalu sukar dan hampir tidak mungkin untuk Najib membebaskan dirinya daripada apa yang sedang berlaku sekarang ini.
Dan ini baru permulaan, mungkin lebih banyak tindakan lain akan menyusul selepas ini.
Begitu juga dengan tujuh negara lain yang turut sama sedang menyiasat 1MDB, beberapa kejutan lagi pasti akan terus “mempopularkan”  Malaysia di mata dunia.  (SH 20/07/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

136 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
136
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x