Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIADA MAKNA LAGI LAPORAN AUDIT 1MDB TERUS DIOSAKAN

Meskipun Laporan Audit 1MDB masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA, laman pendedah maklumat Sarawak Report terus mendedahkan beberapa butiran yang dianggap sulit mengenainya kepada umum.
Laman itu menyebut bahawa mereka mendapat akses meluas kepada laporan audit itu bersama dokumen-dokumen utama serta pelbagai kebimbangan yang diluahkan oleh Ketua Audit Negara, Ambrin Buang berkaitan beberapa pemindahan dana 1MDB yang sebelum ini dipersoalkan.
Sarawak Report juga mengatakan, mereka akan  menerbitkan butiran lanjut berkaitan laporan audit itu dalam penulisannya di beberapa hari akan datang.
Bagaimanapun, oleh kerana sekatan undang-undang OSA, tidak ada sesiapa berani menyiarkan atau memetik maklumat yang disiarkan Sarawak Report itu.
Tetapi, dengan capaian internet yang semakin meluas serta Sarawak Report yang disekat SKMM juga begitu mudah diakses, maklumat audit itu bukan lagi merupakan sesuatu “rahsia besar”  bagi rakyat negara kita.
MengOSAkan laporan audit itu dengan tujuan ia kekal sebagai rahsia atau sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum hampir tidak bermakna lagi sekarang ini. Sesiapa saja boleh membaca dan meneliti pendedahan Sarawak Report itu asalkan mereka ada kemudahan internet.
Malah dengan kerajaan terus meletakkannya di bawah OSA dan Sarawak Report pula mendedahkannya, maklumat itu lebih menjadi buruan untuk diketahui.
Dalam waktu yang sama, apabila orangramai mengetahui kepincangan 1MDB melalui laporan audit yang didedahkan oleh Sarawak Report, ia akan menyebabkan imej kerajaan menjadi bertambah buruk lagi kerana ia secara langsung mengesahkan memang ada keburukan yang cuba diselindungkan.
Lagi pun, ketika isu berkaitan syarikat pelaburan bermasalah itu tengah panas dan dipersoalkan dahulu, jawapan yang sering diberi oleh Najib, pemimpin kerajaan dan 1MDB sendiri ialah agar orangramai menunggu laporan audit untuk mengetahui kebenarannya.
Namun setelah laporan audit disiapkan, kemudian diletakkan pula dibawah OSA,  tidak lain menggambarkan bukan saja ada kepincangan yang berlaku, malah meletakkan kerajaan dalam label “cakap tak serupa bikin.”
Untuk itu, sebagai membuktikan ketelusan dan tidak takut berdepan kenyataan, Najib seharusnya mengarahkan agar laporan audit 1MDB itu dibebaskan sepenuhnya daripada OSA dengan segera sebelum Sarawak Report terus mendedahkan satu persatu mengenainya.
Sekurang-kurangnya dengan membebaskan laporan itu daripada OSA, kerajaan lebih diyakini rakyat sebagai berpegang kepada janji-janjinya serta dilihat berani berhadapan dengan kritikan dengan telus dan terbuka.
Jika ada kesalahan di mana-mana yang memerlukan jawapan, langkah terbaik ialah memberi penjelasan dengan sebaik-baiknya, bukannya dengan menyembunyikannya atau  mengelak daripada memberi jawapan.
Mengekalkan laporan audit 1MDB dalam OSA, tetapi orangramai dapat juga mengetahuinya melalui saluran lain, hanya menghodohkan lagi wajah kepimpinan Najib yang sudah sarat dengan sekian banyak isu dan masalah.  (SH 08/07/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

36 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
36
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x