Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TIADA APA2 YANG BOLEH DIHARAPKAN DARIPADA HUSNI

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah akhirnya mengesahkan sebab utama pengundurannya daripada kabinet ialah kerana enggan dipindahkan ke kementerian lain.
Katanya, beliau sebelum ini sudah mengumumkan tidak mahu bertanding lagi dalam PRU 14 akan datang dan berhasrat ingin mengakhiri kariernya di Kementerian Kewangan.
Tambah beliau, pertukaran ke kementerian lain yang hanya memberinya masa kira-kira setahun setengah untuk berkhidmat sebelum pilihanraya akan datang menjadikan tugasnya nanti tidak lagi efektif.
Pengesahan Husni itu bertepatan dengan laporan blog ini pada 27 Jun lalu yang mengatakan pengunduran Husni daripada kabinet sebagaimana yang diumumkan oleh Najib Razak bukanlah dibuat kerana persaraan sukarela, tetapi sebagai tanda protes, kecewa dan kecil hati berikutan portfolionya ingin ditukarkan.
Kesimpulannya,  Husni berundur daripada kabinet dan kemudian melepaskan semua jawatannya dalam UMNO bukanlah kerana prinsip atau ada sesuatu yang tidak dipersetujuinya mengenai kepimpinan Najib dan kerajaan atau mengenai 1MDB, tetapi semata-mata kerana hasratnya ingin kekal di Kementerian Kewangan tidak dipenuhi.
Makna mudahnya, segala-galanya kerana jawatan.
Kalau Najib bersedia mengekalkannya di Kementerian Kewangan, pasti  hari ini Husni masih lagi kekal sebagai menteri dan tetap sayang kepada semua jawatannya dalam UMNO.
Apa yang istimewanya Kementerian Kewangan kepada Husni sehingga  beliau tidak mahu ditukarkan ke kementerian lain?
Apa pula yang beliau rasa dirinya begitu istimewa sehingga mahu memegang jawatan Menteri Kewangan sehingga pencen atau sehingga beliau sendiri tidak mahu jawatan tersebut?
Hanya Husni yang tahu jawapannya.
Dengan pengesahan Husni tentang sebab-sebab pengundurannya itu, ia barangkali mengecewakan sebilangan mereka yang memuji perletakan jawatannya dahulu dengan pelbagai tafisran, yang antaranya dikatakan kerana tidak mahu lagi bersekongkol dengan kemungkaran dalam kerajaan, enggan berterusan bersubahat berkaitan 1MDB dan sebagainya.
Terdapat juga pihak-pihak tertentu yang mengajak Husni agar bersama dengan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir Mohamad untuk memperbetulkan sekian banyak kepincangan kewangan dalam pentadbiran kerajaan.
Malang sekali, rupa-rupanya perletakan jawatannya dalam kerajaan dan kemudiannya dalam UMNO hanyalah semata-mata kerana kepentingan jawatan dan tiada kaitan sama sekali dengan faktor-faktor yang lain.
Dapat jawatan yang diinginkannya, beliau bersedia kekal dalam kerajaan, tidak dipenuhi keinginannya, letak jawatan.
Begitu murah nilai Husni sebenarnya. Pengakuannya meletakkan di mana harga dirinya yang sebenar dan tidak ramai pemimpin yang sedia mengaku meletakkan jawatan semata-mata kerana tidak mendapat jawatan yang diinginkan.
Selepas tiada apa-apa jawatan, Husni dilaporkan ingin ke Jordan untuk mendalami bahasa Arab, Al Quran dan hafazan selama tiga bulan.
Memang difahami Husni mengetahui banyak perkara mengenai kerajaan selama berada dalam kabinet, tapi bagaimana jika sekembalinya dari Jordan nanti, Najib menawarkannya kembali jawatan sebagai pengerusi di mana-mana GLC atau agensi kerajaan?
Merajuk kerana jawatan, sudah tentu mudah juga dipujuk dengan jawatan.
Akhirnya, tiada apa-apa sebenarnya yang boleh kita harapkan daripada Husni. (SH 03/07/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

56 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
56
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x