Orang yang barangkali paling gembira dengan rombakan kabinet semalam tentunya ialah Noh Omar. Digugurkan selepas pilihanraya 2013 kerana gagal menawan Selangor walaupun bergandingan dengan Najib Razak, hanya dengan kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Sungai Besar menjadikannya kembali semula sebagai menteri.
Sebelum ini, Noh adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kini beliau dilantik sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Jika selepas menang di Sungai Besar, Noh membayangkan harapan cerah untuk menawan semula Selangor dalam PRU 14 akan datang, perlantikan sebagai menteri pula dianggap memberinya suntikan lebih semangat ke arah yang sama.
Jadi dengan perlantikan baru ini akan memberikan semangat baru, suntikan baru dan akan memudahkan saya menguruskan masalah rakyat, terutama yang tinggal dalam bandar, kata Noh semalam.
Najib sendiri memberinya jawatan menteri itu tidak lain selain memudahkan matlamat untuk membawa kembali Selangor ke pangkuan BN dapat menjadi kenyataan, setelah gagal melakukannya pada 2013 yang lalu.
Soalnya mampukan Noh dengan jawatan barunya ini menawan semula Selangor dalam pilihanraya akan datang ini?
Sementara Pakatan Harapan Selangor dalam reaksinya menyatakan perlantikan Noh itu bukan merupakan ancaman kepada mereka, kalangan dalam UMNO Selangor sendiri turut mempunyai keraguan perlantikan Noh sebagai menteri mampu menyumbang sesuatu yang positif.
Seorang pemimpin peringkat pertengahan dalam satu bahagian UMNO di Selangor tidak menyembunyikan kesangsian mereka terhadap kemampuan Noh untuk menawan semula Selangor daripada Pakatan Harapan.
Kata beliau, kalau benar ingin menawan semula Selangor, adalah kelakar jika UMNO menjadikan Noh sebagai sandarannya.
Noh terlalu banyak isu sama ada berkaitan peribadinya atau perlakuannya sebagai menteri sebelum ini. Malah wajahnya pun bukan tarikan yang mampu membuatkan pengundi tertarik untuk memilih BN, kata pemimpin tersebut.
Katanya, beliau berkongsi pandangan dengan ramai kawan-kawan yang seangkatan dengannya di banyak bahagian lain bahawa untuk menawan semula Selangor, pemimpin baru dan tidak terpalit dengan apa-apa isu haruslah ditampilkan.
Mesej kemenangan Budiman Mohd Zohdi di Sungai Besar adalah jelas bahawa pengundi mahukan pemimpin muda yang tiada isu peribadi, bukannya pemimpin tua yang boleh dikitar semula, katanya lagi.
Tambahnya, dalam PRU 2013 lalu, Noh selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Najib selaku Pengerusinya, telah terbukti bukan saja gagal menawan Selangor, malah jumlah kerusi yang dimenangi BN menurun iaitu 12 kerusi berbanding 20 kerusi pada 2008.
Lalu, apa asasnya untuk disandarkan harapan kepada Noh untuk mencipta kemenangan pada pilihanraya akan datang? soal beliau.
Kata beliau, kemenangan BN di Sungai Besar bukanlah kerana kelebihan atau kemampuan Noh, tetapi disebabkan pemilihan Budiman sebagai calon merupakan faktor utamanya.
Untuk menawan Selangor, tegasnya, UMNO Selangor bukan saja perlu dipimpin oleh pemimpin baru dan muda daripada negeri itu, bahkan jika mahu pemimpin pusat memainkan peranan, watak yang selayaknya ialah seperti Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin.
Noh tersasar jauh daripada harapan itu, katanya dengan nada sedikit kecewa terhadap Najib yang memilih semula Noh sebagai menteri. (SH 28/06/2016).