Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

APA NASIB TUN MAHATHIR SETERUSNYA?

Tun Mahathir Mohamad, musuh utama Najib Razak kini satu demi satu sedang ditarik kemudahan dan keistimewaannya hanya kerana bersikap kritikal terhadap Perdana Menteri.

Bermula dengan kedudukannya sebagai Penasihat Petronas dilucutkan,  desakan berterusan yang akhirnya membuatkan Tun Mahathir sendiri memilih berundur sebagai Pengerusi Proton kerana tidak mahu menyusahkan syarikat kereta nasional itu dan kemudahan polis pengiring disekat kecuali untuk program rasmi, minggu lalu bantuan kerajaan terhadap Yayasan Kepimpinan Perdana pula diumumkan ditarik balik oleh Najib.
Dengan penarikan bantuan kerajaan itu yang antaranya melibatkan pembayaran gaji kakitangan dan bil ulitili, kedudukan Yayasan Kepimpinan Perdana berada dalam keadaan tidak menentu, kecuali jika ia memiliki dana sumbangam korporat yang masih mencukupi untuk terus bertahan untuk beberapa tahun akan datang.
Jika akhirnya Yayasan Kepimpinan Perdana tidak mampu membiayai kos bulanannya dan terpaksa ditutup, Tun Mahathir hanya mempunyai satu saja lagi kemudahan pejabat untuknya iaitu di Yayasan Al Bukhary berhampiran Masjid Negara.
Namun demikian, oleh kerana Syed Mokhtar Al Bukhary mempunyai banyak urusan perniagaan dengan kerajaan, tidak mustahil beliau juga sedang ditekan agar berhenti daripada menyediakan kemudahan itu kepada Tun Mahathir.
Najib tentunya akan menjadi paling gembira jika berjaya membuatkan Tun Mahathir tidak mempunyai satu pun kemudahan pejabat dan akhinya terpaksa mengeluarkan pembiayaan sendiri bagi tujuan tersebut.
Tidak disangsikan bahawa penarikan balik bantuan dan semua kemudahan itu ialah dengan tujuan untuk menyekat kelancaran Tun Mahathir daripada bergerak dan menjalankan aktiviti yang dirasakan boleh menggugat kedudukannya.
Bersama Muhyiddin Yassin, Mukhriz turut dipecat daripada UMNO. Ini menjadikan Tun Mahathir dan satu-satu anaknya yang aktif dalam UMNO tidak lagi berada dalam parti yang sedang dipimpin Najib.
Seorang lagi anak Tun Mahathir, Mokhzani yang kini menjadi Pengerusi Litar Sepang, barangkali turut dalam perhatian untuk diambil tindakan juga oleh Najib.
Dalam masa yang sama, berikutan beberapa ucapan dan tulisan Tun Mahathir yang dianggap menghasut serta membahayakan kedudukan Najib, lima kertas siasatan telah dibuka dan sedang berada dalam pertimbangan pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Apakah, selain satu demi satu kemudahan dan bantuan kerajaan ditarik balik, Najib juga akan mengheret Tun Mahathir sehingga ke mahkamah dan kemudian terpaksa menghuni penjara?
Melihat kepada gerak laku dan kecenderungan Najib dalam bertindak terhadap musuh-musuh politiknya, segala tindakannya adalah serba mungkin terhadap Tun Mahathir. 
Tanpa menghiraukan sumbangan dan jasa besar Tun Mahathir kepada negara, kedudukannya sebagai negarawan dan peranan melatih serta memberi ruang sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri, pertimbangan utama Najib tidak lain ialah mempertahankan kedudukannya semampu yang mungkin.
Yang paling dibimbangi Najib, berikutan skandal 1MDB, dana SRC International dan caca-marba kenyataan berhubung wang RM2,600 juta dalam akaun peribadinya, jika beliau disingkirkan ia mungkin boleh membawa dirinya kepada proses pendakwaan dan pengadilan di mahkamah juga.
Sebab itu, bertahan sedaya yang mungkin di samping mengepung segala kuasa dalam negara menjadi pilihannya.
Berbeza dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang juga aktif mengkritik dan mahu menjatuhkan Perdana Menteri ketika Tun Mahathir berkuasa, tetapi Bapa Kemerdekaan itu tidak pernah diperlakukan seburuk ini.
Ini kerana ketika itu, penentangan terhadap Tun Mahathir lebih bersifat politik, kepimpinan dan pengurusan negara semata-mata. Tidak pernah Tun Mahathir dituduh, apatah lagi disiasat, berkaitan pemilikan harta curi atau wang dijumpai dalam akaun peribadi.
Tetapi, berdasarkan rekod Tun Mahathir yang tidak pernah kalah dalam menjatuhkan beberapa pemimpin sebelum ini, adalah dipercayai segala apa yang dilakukan Najib ini akan merangsangnya untuk bertindak dengan lebih aktif selepas ini.
Cuma, apakah sebagai tindakan melawan, Najib juga akan menjadi lebih keras lagi?  (SH 27/06/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

41 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
41
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x