Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MUHYIDDIN, MUKHRIZ PALING TIDAK BERPOTENSI TUMBANGKAN BN DI JOHOR DAN KEDAH

Sebaik dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir sudah hilang peluang untuk menjatuhkan Najib Razak melalui saluran dalaman parti itu. Permusuhan mereka juga tidak lagi bersifat terhadap batang tubuh Perdana Menteri sahaja.
Muhyiddin dan Mukhriz kini sudah menjadi musuh kepada UMNO. Melalui pemecatan yang dilakukannya, Najib telah memindahkan permusuhan kedua-dua pemimpin itu terhadapnya kerana membangkitkan kecurangannya berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadinya, kepada parti untuk menanggungnya.
Sesuai dengan itu, Muhyiddin dan Mukhriz harus juga mengambil sikap bermusuh dengan UMNO mulai sekarang. Adalah tidak jantan jika dalam keadaan UMNO sudah mengambil sikap bermusuh, mereka sebaliknya masih lagi bernada syahdu kepada UMNO. Harus diletakkan titik noktah dalam hal ini.
Mereka kini mesti menjadikan PRU 14 sebagai detik perhitungan dengan Najib, kecuali kalau ingin bersara dan reda dengan segala keburukan Najib selama ini. Tetapi jika itu pilihannya, Muhyiddin dan Mukhriz tidak lagi dianggap pejuang, malah akan dibenci dan dikecam.
Ada dua langkah yang boleh dilakukan sekiranya Muhyiddin dan Mukhriz ingin terus berjuang dan berlawan dengan UMNO dan Najib yang kini dimusuhinya.
Pertama, ia boleh dilakukan dengan salah seorang daripadanya sedia menentang Najib di Parlimen Pekan dalam pilihanraya akan datang. Tumbang Najib di Pekan, tergoleklah jawatan Perdana Menteri yang disandangnya meskipun jika sekiranya BN masih menang dalam pilihanraya nanti.
Namun, persaingan itu amat berat dan hampir mustahil untuk mencapai kejayaan. Dengan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri serta kuasa dan wang yang dimilikinya, tentu saja banyak dedak yang mampu ditaburkan untuk memastikan kemenangan kekal dalam genggamannya.
Kedua dan ini langkah paling praktikal, iaitu segera mewujudkan persefahaman dengan Pakatan Harapan untuk mengalahkan BN dalam pilihanraya umum akan datang. Tempoh dua tahun sebelum pilihanraya akan datang lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.
Bersama Tun Mahathir Mohamad yang sudah ditarik banyak keistimewaannya kerana mengkritik dan ingin menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Najib yang nyata merosakkan, kehadiran Muhyiddin dan Mukhriz sebenarnya mampu membawa impak besar dalam melonjak serta mengalihkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan.
Dengan berjuangnya Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz bersama Pakatan Harapan, ia bukan saja mampu memberi lebih harapan untuk mengalahkan BN dan menjadikan Najib kehilangan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya serta Rosmah tidak lagi glamour dengan gelaran First Ladynya, paling tidak yang boleh berlaku ialah menjadikan Johor dan Kedah beralih tangan kepimpinan.
Dengan pengalaman pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor, Muhyiddin sebenarnya mampu membuatkan BN hilang kuasanya di negeri itu. Pengaruhnya di Johor masih lagi berbekas dan dikenang oleh ramai orang.
Begitu juga dengan Mukhriz yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah, pengaruhnya bersama Pakatan Harapan lebih memungkinkan negeri tersebut jatuh kembali ke tangan pembangkang. Jika dalam PRU 2013, kehadirannya menyumbang kepada kekalahan Pakatan Rakyat, Mukhriz kini boleh melakukan peralihan kuasa sekali lagi di negeri itu.
Walaupun menumbangkan BN dan menjatuhkan Najib tetap sebagai keutamaan, sekurang-kurangnya dengan pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz mampu menyebabkan BN di Johor dan Kedah  kehilangan kuasa,  adalah juga suatu kebanggaan besar bagi Pakatan Harapan.
Akhirnya, jika pun BN menang lagi dan Najib terus kekal (mudah-mudahan tidak) sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan semua negeri-negeri kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor berada dalam tangan Pakatan Harapan, kerajaan Pusat pimpinannya akan menjadi tidak bermaya masa demi masa kemudiannya. (SH 26/06/2016)
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

31 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
31
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x