Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

TUN M AKAN KEMBALI DIJULANG JIKA NAJIB KALAH PRU 14

Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir sebenarnya tidak perlu lagi membuang masa dengan terus berharap Najib Razak dapat diundurkan sebelum PRU 14 dan kemudian UMNO boleh diselamatkan selepas pengundurannya.
Beberapa tindakan Najib kebelakangan ini jelas memperlihatkan beliau ingin terus berkuasa selama mana yang mampu dilakukannya. Setelah Jabatan Peguam Negara berada dalam genggamannya,  akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan tanpa memperdulikan permintaan Majlis Raja-Raja agar ia diperhalusi, SPRM bakal dijinakkan kuasanya dan kini semua musuh-musuhnya dalam UMNO mula diketepikannya.
Sebelum Muhyiddin dan Mukhriz dipecat, beberapa pemimpin UMNO peringkat cawangan yang lantang mengkritik Najib sudah pun disingkirkan. Selepas ini mungkin giliran Shafie Afdal dan sesiapa juga yang berani membuka mulut mengkritiknya.
Tun Mahathir pula sedang ditekan satu demi satu dan ia dalam masa yang sama  merupakan isyarat untuk menimbulkan ketakutan kepada yang lain-lain yang cuba berlaga angin dengannya.
Dalam penstrukturan kabinet yang dijangka berlaku tidak lama lagi, turut diperbualkan secara hangat dalam UMNO ialah Najib dikhabarkan akan mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri daripada Zahid Hamidi untuk mengukuhkan lagi kuasa yang ada padanya.
Zahid yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri disebut-sebut bakal diberikan tugas sebagai Menteri Pertahanan, manakala Kementerian Kewangan yang kini dipegang Najib akan diserahkan kepada sepupunya, Hishammuddin Hussein.
Berbanding Kementerian Kewangan yang boleh mengawal projek-projek kerajaan sebagaimana dikuasainya sebelum ini, fasa seterusnya memperlihatkan Najib lebih memerlukan Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan hayat politiknya dapat dipertahankan  dengan lebih lama. Lagi pula, dengan isu 1MDB yang masih banyak tersangkut, Najib boleh melepaskan beban itu kepada Hishamuddin untuk menanganinya selepas ini.
Oleh itu, mengharapkan Najib dapat diundurkan atau mungkin berundur berikutan beberapa siasatan negara luar terhadap 1MDB, adalah tidak praktikal lagi. Najib juga tidak akan mengendahkan sebarang desakan melalui Deklarasi Rakyat kerana kuasa dedak yang dimilikinya sudah sampai ke tahap ulama pun dapat ditundukkanya.
Lagi pun, Najib tidaklah memiliki jiwa  murni seperti David Cameroon yang sanggup berundur hanya kerana rakyatnya memilih untuk keluar daripada Kesatuan Eropah, suatu pendirian yang berbeza dengan keinginannya.
Jika Najib ada jiwa murni, beliau sepatutnya sudah berundur selepas pilihanraya 2013 lagi kerana keputusannya jauh lebih buruk berbanding 2008, meskipun dengan peruntukan besar dan menjaja slogan “I Love PM” sepanjang masa. Undi popular menolak BN ketika itu ialah sebanyak 52 peratus berbanding menyokong sebanyak 47 peratus.
Penentang-penentang Najib harus menyedari PRU 14 adalah penentuan segala-galanya. Kekalahan BN bukan saja dapat menyingkirkan Najib, mereformasi institusi penting dalam negara, melihat kebenaran 1MDB dan wang RM2,600  mampu diserlahkan kepada umum, bahkan juga memulihkan semula UMNO.
Kekalahan BN yang akan memaksa Najib serta sebahagian pimpinannya sekarang berundur, secara tidak langsung akan membolehkan pimpinan baru mengambil alih UMNO. Najib yang menyebabkan kekalahan UMNO dan BN hilang kuasa tentu saja akan dihukum oleh sejarah dek kelakuan beliau, isteri dan keluarganya sebagai punca utama rakyat membuat penolakan.
Tun Mahathir pula akan dianggap sebagai hero dan bakal dijulang semula oleh rakyat, tidak saja kerana telah berjaya menyelamatkan negara daripada cengkaman kerakusan Najib, tetapi juga memberi ruang untuk UMNO dipulihkan dan berubah menjadi lebih baik.
Hilang kuasa selama sepenggal semata-mata untuk negara dan UMNO dapat dipulihkan adalah lebih baik daripada ia terus berkuasa dengan segala keburukan dah kebejatan yang diakibatkan oleh Najib. Jika berubah dengan lebih baik, UMNO pasti mampu bangun semula dengan bermulanya era persilih-gantian kuasa dalam negara yang pastinya memberi lebih kebaikan kepada rakyat jelata. (SH 25/06/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

22 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
22
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x