Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MUHYIDDIN & MUKHRIZ DIADILI MACAM MAHKAMAH RIMBA, SEBAIKNYA SHAFIE SEGERA KELUAR UMNO TANDA SOLIDARITI

Kedudukan Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal yang menjadi perhatian dan tanda tanya sejak hampir setahun yang lalu berakhir hari ini. Muhyiddin dan Mukhriz dipecat serta merta daripada UMNO manakala Shafie digantung jawtannya sehingga laporan mengenai salah lakunya disiapkan oleh Jawatankuasa Disiplin.
Di ketika yang sama Najib juga mengumumkan pemberhentian segala bantuan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad.
Pemecatan Muhyiddin dan Mukhriz walaupun menurut Najib mendapat persetujuan sebulat suara  Ahli MT UMNO, tetapi ia secara jelas menggambarkan ketidakberanian Presiden UMNO itu untuk berdepan secara anak jantan dengan kedua-dua pemimpin tersebut.
Tidak seperti Tun Mahathir yang memberi ruang seluas-luasnya kepada Anwar Ibrahim membela diri sebelum MT UMNO bersetuju memecatnya pada 1998, Muhyiddin dan Mukhriz sebaliknya tidak diberi sebarang ruang untuk berbuat demikian.
Tengku Adnan sebelum ini ada mengatakan kes Muhyiddin dan Mukhriz tidak diproses oleh Lembaga Disiplin, tetapi dikembalikan kepada MT UMNO untuk membuat keputusan kerana ia dianggap kes berprofil tinggi.
Oleh itu, mereka tidak diberi sebarang surat tunjuk sebab, tidak diberi peluang membela diri, bahkan dikeluarkan beberapa bulan sebelum ini daripada MT UMNO dengan Muhyiddin digantung jawatan Timbalan Presidennya dan Mukhriz terlucut sebagai ahli MT sebaik jawatan Menteri Besar Kedah tidak lagi disandangnya.
Dalam erti kata lain, mesyuarat MT yang memutuskan pemecatan mereka hari ini tidak lebih umpama mahkamah rimba di mana hanya ada Najib selaku Ketua Hakim dan mungkin Tengku Adnan sendiri selaku pendakwaraya yang membariskan beberapa senarai pertuduhan terhadap Muhyiddin dan Mukhriz. Ahli-ahli MT pula umpama juri yang akan mengundi secara angkat tangan dan tidak mungkin berani berbeza pendirian di depan Ketua Hakim.
Yang dituduh bukan saja tidak ada peluang membela diri, tidak tahu secara spesifik apa dan berapa kertas pertuduhan, bahkan tidak diberitahu pun tarikh perbicaraan. Tahu-tahu diumumkan sudah dipecat dengan persetujuan semua juri-juri,  itu pun beritanya hanya diketahui melalui maklumat daripada portal berita dan media sosial yang paling awal menghebahkannya.
Begitulah hebatnya Pahlawan Bugis menguruskan UMNO sekarang ini.
Dalam kes Shafie Apdal, Najib mengumumkan Naib Presiden UMNO itu digantung jawatannya dahulu sementara menunggu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiapkan laporan mengenainya.
Kenapa kes Muhyiddin dan Mukhriz diadili berbeza dengan Shafie?
Mengapa Muhyiddin dan Mukhriz terus dipecat tanpa dihadapkan kepada Lembaga Disiplin, tetapi Shafie digantung terlebih dahulu sementara laporan mengenainya disiapkan?
Mengapa Shafie tidak terus dipecat, sama seperti Muhyiddin dan Mukhriz? 
Kalau Shafie ditunggu laporannya, adakah Muhyiddin dan Mukhriz disediakan laporannya juga?
Dalam hal ini, adalah terpuji jika Shafie terus mengumumkan segera keluar daripada UMNO kerana tiada gunanya lagi beliau berada bersama parti Najib itu. Lambat laun beliau akan dipecat juga akhirnya.
Secara umumnya, semua tindakan yang dihadapkan terhadap Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz hari ini membuatkan mereka tidak ada pilihan lain lagi selain terus berperang secara terbuka untuk menyingkirkan Najib dengan apa cara dan dengan segala kekuatan yang ada.
Jika Najib gagal disingkirkan sebelum pilihanraya, usaha seterusnya ialah PRU 14 yang kira-kira dua tahun lagi tempoh masanya dari sekarang. Dengan apa cara sekali pun, ketiga-tiga mereka mesti terus berjuang bersama Pakatan Harapan untuk memastikan UMNO serta BN berjaya dikalahkan dan Najib akhirnya dapat disingkirkan.
Hanya itu satu-satunya cara yang tinggal jika mereka masih kekal dengan keyakinan bahawa Najib adalah beban dan perosak kepada negara ini. (SH 24/06/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

47 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
47
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x