Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

NAJIB SENDIRI TURUN PADANG DALAM PRK, APAKAH ZAHID HAMIDI TIDAK BERFUNGSI?

Sebenarnya bukanlah amalan biasa bagi Perdana Menteri dan Presiden UMNO untuk turun berkempen dalam mana-mana pilihanraya kecil. Lazimnya tugas itu diterajui sepenuhnya oleh Timbalan Perdana Menteri sahaja.
Ketika era Tun Mahathir Mohamad, semua pilihanraya kecil dipertanggungjawabkan kepada timbalannya. Ketika Tun Abdullah Badawi, Najiblah yang bertungkus lumus bergelumang dalam semua pilihanraya kecil.
Malah ketika Najib mempunyai timbalan yang bernama Muhyiddin Yassin, kelaziman dan kebiasaan memberi mandat kepada orang nombor dua itu sentiasa diamalkan.
Jika kita masih ingat juga, dalam beberapa pilihanraya kecil sejak 2009 lalu di mana Najib bertimbalankan Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatan itulah yang turun padang siang malam, pagi petang dan macam berkampung di lapangan bertemu pengundi serta mengumumkan pelbagai peruntukan pembangunan di semua kawasan yang diadakan pilihanraya.
Tetapi kelaziman dan kebiasaan itu nampaknya sudah tidak dipakai lagi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini. 
Najib sendiri mengambil keputusan turun padang di kedua-dua kawasan pilihanraya kecil itu untuk bertemu pengundi, turun ke bazar Ramadan, mengumumkan macam-macam projek pembangunan dan janji-janji yang lain.
Jika ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu, mengumumkan pembinaan Jambatan Manong, naik taraf universiti, bantuan kepada kaum India dan sebagainya, itu adalah antara peranan yang sepatutnya dilakukan oleh Zahid Hamidi, bukannya Najib.
Kenapa ini berlaku, adakah Najib tidak meyakini kemampuan Zahid Hamidi?
Mengapa tidak diberi peluang sepenuhnya kepada Zahid Hamidi menunjukkan bakat ketrampilannya, tambahan lagi ini adalah pilihanraya kecil pertama sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO?
Mungkinkah sebagaimana yang ditanggapi banyak pihak bahawa pilihanraya ini ialah untuk menghantar mesej penolakan terhadap Najib, maka membuatkan Perdana Menteri sendiri turun padang dan berusaha sehabis baik yang mungkin bagi mengelakkan kekalahan BN benar-benar menjadi kenyataan?
Adakah turunnya Najib di Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan beliau sedang cemas?
Dalam hal ini, adakah Najib merasakan Zahid Hamidi tidak begitu berfungsi atau kelihatan tak bersungguh hati untuk memastikan kemenangan BN di kedua-dua kawasan tersebut?
Di sudut yang lain, tidak mustahil kesediaan Najib sendiri turun padang  juga ialah kerana telah diyakinkan oleh Noh Omar dan Zambry Abd Kadir bahawa BN mampu boleh di kedua-dua kawasan tersebut.
Ini bermakna sekiranya kemenangan benar-benar menjadi kenyataan nanti, “mileage”  kemenangan itu awal-awal lagi sudah ditempah Najib sebagai miliknya dan bukan disebabkan sesiapa yang lain, termasuk Zahid Hamidi.
Sama ada kehadiran Najib berkempen itu menandakan BN sedang cemas atau isyarat nyata sebuah kemenangan hampir pasti dalam genggaman, ia sebaliknya adalah petanda awal yang tidak baik bagi Zahid Hamidi.
Kecuali jika BN kalah di Sungai Besar atau Kuala Kangsar atau di kedua-duanya, Zahid Hamidi lebih mungkin menjadi seorang lagi Timbalan Perdana Menteri yang dikecundangkan di hujung pendakian mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri. (SH 11/06/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

19 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
19
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x