Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MEMBANTU BALU WAKIL RAKYAT IALAH MENJAGA KEBAJIKANNYA, BUKAN MENJADIKANNYA WAKIL RAKYAT JUGA

Di mana-mana, masih ada kedengaran pemimpin dan ahli UMNO yang bersungut dan keliru dengan pemilihan Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun depan.
Mereka tidak pasti sama ada ia benar-benar kehendak Najib Razak atau ia dicadangkan dengan bersungguh-sungguh oleh pihak lain seperti Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak atau Zahid Hamidi yang atas kapasitinya menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO memang berperanan penting berkaitan mana-mana pilihanraya kecil.
Mereka juga tidak tahu apakah benar desas-desus yang berlegar di awang-awangan bahawa Mastura sendiri yang melobi dan berjumpa dengan pemimpin tertentu untuk menawarkan dirinya menjadi calon menggantikan arwah suaminya.
Bagi yang selalu bertemu arwah Wan Khairil Wan Ahmad, tentu sedar bahawa Mastura bukan saja biasa menemani suaminya berkempen dan bertemu pengundi di Kuala Kangsar, bahkan turut kerap menjadi pendamping setia di majlis-majlis tidak rasmi atau jamuan-jamuan di rumah pembesar-pembesar UMNO.
Lantaran itu, tidaklah menghairankan jika beliau dikenali atau mengenali sebahagian besar pemimpin UMNO atas kedudukannya sebagai isteri Wan Khairil.
Tetapi, keputusan memilih Mastura ini menimbulkan duluan dan persepsi yang tidak baik serta menjengkelkan kepada UMNO. Seperti disebut dalam tulisan terdahulu, ia bukan saja mengesahkan UMNO ketandusan pemimpin dan mewujudkan banyak masalah untuk berkempen serta bertemu pengundi kerana kedudukan Mastura yang masih dalam edah, bahkan yang diperkatakan juga ialah mengenai hubungan parti dengan isteri pemimpin dan balu wakil rakyat yang kematian suami.
Semasa Wan Khairil menjadi wakil rakyat, Mastura tidak dinafikan kerap dibawa untuk membantu suaminya atas sebab-sebab keperluan atau keistimewaan yang suaminya saja yang tahu. Orang lain tidak harus tahu apa kelebihan itu dan mengapa ia berlaku.
Ramai juga wakil rakyat yang tidak melibatkan isteri dalam tugas mereka, kecuali untuk dibawa menghadiri majlis rasmi dan jamuan sahaja. Ini juga tidak harus sesiapa ambil tahu sebab-sebabnya.
Apabila meninggal dunia, kelebihan Mastura itu tidak seharusnya dipergunakan oleh orang lain. Ketika menjadi isteri juga, bantuan yang dicurahkannya adalah dengan keredaan dan restu suami.
Kini suaminya sudah meninggal dunia, apatah lagi dalam edah, keredaan dan restu itu boleh dianggap masih tergantung.
Setelah kematian suami, tidak harus juga ada mana-mana pemimpin UMNO yang tertarik dengan apa juga kelebihan Mastura. Ini kerana kelebihan itu disebabkan suaminya menjadi wakil rakyat ketika itu. 
Setelah suaminya tiada, boleh jadi kelebihan itu turut tiada lagi. Mungkin juga suaminya pernah menyimpan impian agar isterinya menjaga rumahtangga dan keluarga saja setelah beliau meninggal dunia. Tambahan lagi, selama ini pun Mastura sudah menjadi suri rumah sepenuh masa, walaupun berkelulusan dari luar negara.
Sesuai dengan konsep parti menguasai kerajaan, pemilihan calon seharusnya dipilih daripada kalangan pimpinan UMNO Kuala Kangsar atau setidak-tidaknya orang Perak juga bagi menggantikan Wan Khairil. Bukan isterinya dijadikan pengganti dan bukan juga orang Negeri Sembilan didahulukan.
Memilih seorang balu sebagai calon bagi menggantikan suaminya yang meninggal dunia memperlihatkan ada yang tidak kena dengan pemimpin yang membuat keputusan itu.
Untuk menang, tidak semestinya dengan simpati. Ada banyak cara dan usaha lain yang boleh dilakukan.
Adalah salah dan merbahaya jika pemimpin tertentu tertarik dengan kelebihan Mastura yang selama hanya dimanfaatkan oleh suaminya. Wan Khairil boleh memanfaatkan Mastura sebab wanita itu isterinya. Pemimpin lain patut melihat kelebihan isteri masing-masing, bukan kelebihan isteri orang atau balu yang baru kematian suami.
Seseorang balu juga seharusnya dibantu untuk menangani kesedihan dan dilihat aspek-aspek lain yang boleh diringankan, bukan dipergunakan atau dimanfaatkan oleh pihak lain. Memilihnya sebagai calon dan menjadikannya wakil rakyat tidak sama sekali boleh dianggap untuk menghulurkan bantuan.
UMNO mungkin malu untuk menarik balik pemilihan Mastura, meskipn sedar banyak masalah dan kekangan yang akan dihadapinya. Bukan saja dalam soal kempen, bahkan seperti ditulis sebelum ini, disebabkan edah selama 4 bulan 10 hari itu, jika menang sekalipun, Mastura hanya dapat berperanan sepenuhnya sebagai wakil rakyat pada pertengahan September nanti.
Sekarang ini terserah kepada pengundi Kuala Kangsar membuat keputusan. Mereka bukan saja berperanan memilih wakil rakyat baharu pada 18 Jun nanti, tetapi juga juga terpikul tanggungjawab untuk mengelakkan Mastura berkemungkinan terjerumus ke kancah dosa yang tidak disedari atau tidak disengajakan olehnya berikutan sedia bertanding dalam pilihanraya ini.
Apatah lagi, selain Pas sudah mengumumkan calonnya  iaitu Dr Najihahussalehah Ahmad dan Pakatan Harapan pula memilih wakil Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang dianggap pertaruhan terbaik dan memenuhi semua kriteria sebagai pemimpin serta untuk bersuara di Dewan Rakyat, pengundi Kuala Kangsar seharusnya tidak terlalu sukar membuat pilihan mereka. (SH 03/05/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

16 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
16
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x