Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

KENAPA PAKATAN HARAPAN TAK LETAK MOHAMAD SABU DI SUNGAI BESAR?

Pakatan Harapan akhirnya meletakkan Azhar Abdul Shukur daripada Amanah untuk mewakili gabungan itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan.

Beliau yang merupakan Pengerusi Amanah Sungai Besar, tidak dipertikaikan dari segi kelayakan, kemampuan, pendidikan,  asal usul tempatan atau latar belakang keluarga di mana ayahnya pernah menjadi Adun dan Ahli Parlimen sebelum ini, tetapi yang menjadi persoalan ialah mengapa Amanah tidak meletakkan pemimpin bertaraf nasional sebagai calonnya?
Jika dilihat ini adalah pertaruhan pertama Amanah dalam pilihanraya kecil di Semenanjung dan berdasarkan calon BN dan Pas yang sudah diumumkan, parti itu seharusnya memilih calon yang lebih menonjol di peringkat nasional untuk diketengahkan.
Dengan menonjolkan calon yang lebih dikenali di peringkat nasional beserta isu-isu yang dibangkitkan dalam kempen nanti juga bersifat nasional, Pakatan Harapan tentunya akan lebih mudah menggamit kepercayaan pengundi.
Lebih-lebih lagi kerana calon BN, Budiman Mohd Zuhdi sudah pun menjadi Adun Sungai Panjang, begitu juga calon Pas yang merupakan Adun Meru, Klang.
Tetapi dengan hanya meletakkan Azhar, seorang yang masih bersifat tempatan dan belum begitu dikenali,  Pakatan Harapan tentunya kena bekerja lebih keras, bukan saja untuk memperkenalkan calon tersebut kepada pengundi, malah juga untuk menandingi dua lagi pesaingnya itu.
Azhar adalah nama yang terlalu baru untuk diketengahkan bagi berhadapan dengan calon kerajaan dan jika benar ingin memberi persaingan, malah di kalangan pimpinan Amanah sendiri pun ada yang tidak mengenalinya.
Di Sungai Besar, dalam konteks Amanah yang baru ditubuhkan dan diwar-warkan sebagai pengganti kepada Pas, calon yang paling sesuai untuk bertanding ialah Mohamad Sabu sendiri.
Kewajaran memilihnya atas kemampuan berhujah di Parlimen saja sudah banyak memberi kelebihan kepada Mohamad Sabu, berbanding Budiman atau Dr Rani.
Mungkin Amanah meletakkan Azhar dan tidak memilih Mohamad Sabu kerana bimbangkan kekalahan yang seterusnya akan menjejaskan imejnya, namun risiko kalah menang adalah lumrah dalam perjuangan yang perlu dihadapi, bukan dielakkan.
Jika takut risiko, meminjam kata-kata Anwar Ibrahim, lebih baik jangan bicara tentang perjuangan.
Umpama menaiki kereta, sama ada memandu secara perlahan di laluan tepi atau memecut laju di laluan paling kanan, kedua-duanya tetap terdedah kepada risiko kemalangan. Memandu laju barangkali kita yang melanggar orang, memandu perlahan mungkin lori melanggar kita.
Dalam konteks positif, jika Mohamad Sabu kalah misalnya, Amanah dapat lebih awal mengenal pasti kelemahan dan kekurangannya serta seterusnya mempunyai ruang untuk memperbaikinya sebelum berlangsungnya PRU 14 kira-kira dua tahun lagi.
Tetapi, sekiranya mampu menang, ia akan melonjakkan lagi imej Amanah dan lebih menggerunkan BN serta Pas.
Jika Mohamad Sabu juga yang menang atas kapasitinya sebagai Presiden parti, mesej kekalahan BN juga lebih perit untuk diterima oleh Najib Razak dalam menghadapi fasa-fasa masa depannya yang masih tidak menentu.
Namun, dengan Azhar sudah dipersetujui dan disepakati sebagai calon Pakatan Harapan di Sungai Besar, satu-satunya yang menjadi sandaran kemenangan hanyalah arus kebencian rakyat terhadap Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya sekarang. (SH 02/06/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

32 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
32
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x