Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

SALAHKAH BILA TUN M MAHU BN DIKALAHKAN DI KUALA KANGSAR DAN SUNGAI BESAR?

Ramai pemuja Najib Razak tiba-tiba bagaikan diserang demam kura-kura apabila Tun Mahathir Mohamad secara terbuka meminta agar BN dikalahkan dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun depan.
Bagi Tun Mahathir, hanya dengan kalahnya BN di dua kawasan itu dapat menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat  tidak lagi menyokong Perdana Menteri itu berikutan skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya telah merudumkan namanya dan menjejaskan imej negara di mata dunia.
Sebelum ini, Tun Mahathir sudah melakukan pelbagai usaha untuk mendesak pengunduran Najib, dengan mutakhirnya mengumumkan keluar UMNO, menggerakkan Deklarasi Rakyat dan kemudian menjelajah ke seluruh negara melalui program Selamatkan Malaysia.
Maka, beriringan dengan Deklarasi Rakyat yang sudah mendapat sokongan lebih 1.27 juta penandatangan, kekalahan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tentu saja relevan dalam usaha berterusan Tun Mahathir untuk mengundurkan Najib yang sehingga ini didapati tujuh buah negara telah membuka kertas siasatan berkaitan penggubahan wang haram melibatkan 1MDB.
Apakah di sebalik Tun Mahathir secara terbuka tidak lagi menyokong dan selalu mendesak pengunduran Najib, para pemujanya masih lagi mengharapkan sokongan bekas Perdana Menteri itu untuk memenangi pilihanraya kecil kali ini?
Tentu mustahil bukan?
Oleh itu, apa yang peliknya dengan gesaan Tun Mahathir agar BN dikalahkan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kali ini?
Lagi pula, kekalahan BN tidak menggoyahkan kedudukan kerajaan secara keseluruhan, cuma ia mampu menjadikan BN semakin tidak selamat dalam pilihanraya akan datang selagi Najib masih kekal sebagai Perdana Menteri.
Kalahnya BN di dua pilihanraya tersebut adalah mesej paling ampuh untuk terus menekan Najib agar memahami kehendak rakyat dengan segera berundur tanpa menunggu keputusan PRU 14. 
Tanpa diberikan mesej yang lebih jelas,  Najib yang dikelilingi pembodek, pengampu dan pemberi gula-gula manis seperti Salleh Said Keruak terutamanya, tentu saja beranggapan beliau sentiasa disokong dan seolah-olah rakyat masih berslogankan “I Love PM” sepanjang masa.
Jika BN tidak dikalahkan dalam dua pilihanraya ini, ia sebaliknya akan terus membuai Najib seolah-olah pelbagai tindak-tanduknya membebankan negara selama ini tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada dirinya.
Malah, lebih  bahaya kerana akan timbul kebanggaan dalam dirinya bahawa tidak saja membebankan kehidupan rakyat dan menambah hutang negara bukan suatu kesilapan, malah membiarkan akaun peribadi penuh dengan timbunan wang juga bukan lagi suatu kesalahan, sekurang-kurangnya dari segi moral sebagai seorang pemimpin.
Sudah tentu, kemenangan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan memberi lebih kemegahan kepada Najib dan sekiranya melalui pelbagai propaganda media pula ia boleh membawa BN terus kekal berkuasa selepas PRU 14, bayangkanlah bagaimana beliau memimpin negara ini selepas itu.
Kiranya tidak membuat gesaan kalahkan BN pula, ia menggambarkan bagaikan Tun Mahathir merestui dan merelakan segala perbuatan salah Najib selama ini sedangkan seluruh dunia sudah lama berpendirian sama.
Oleh itu, jika kita ingin melihat semua kemelut dan apa-apa isu berkaitan skandal kewangan Najib berakhir, seterusnya melihat negara boleh bergerak ke hadapan dengan lebih baik, Sungai Besar dan Kuala Kangsar mesti dijadikan titik permulaannya.
Kekalahan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bukan saja membuatkan Najib sedar penolakan rakyat terhadap dirinya, bahkan akan menyedarkan banyak pihak dalam UMNO tentang bahayanya mengekalkan Perdana Menteri yang sudah tercemar itu.
Pemuja dan pemakan dedak juga akhirnya akan sedar bahawa suara rakyat adalah suara keramat.
Seterusnya, terserahlah kepada Najib membuat pilihan sama ada mahu mengundurkan diri dan membiarkan Malaysia terus selamat atau negara ini akan diselamatkan oleh kerajaan baru selepas pilihanraya umum nanti. 
Jadi, tidakkah meminta BN dikalahkan itu merupakan satu lagi sumbangan besar Tun Mahathir demi masa depan rakyat dan negara? (SH 16/05/2016).
0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

50 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
50
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x