Hari ini merupakan hari terakhir kempen pilihanraya kecil Rompin. Esok, 5hb Mei adalah hari pengundian untuk memilih Ahli Parlimen baru kawasan itu bagi menggantikan Allahyarham Jamaluddin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Semenyih, bulan lalu.
Pada pilihanraya umum 2013 lalu, BN menang dengan majoriti 15,114 mengalahkan Pas. Dalam pilihanraya kecil ini, calon BN, Hasan Ariffin juga berhadapan dengan Pas yang meletakkan Nazri Ahmad sebagai calonnya.
Di atas kertas, memang terlihat harapan BN mengekalkan kerusi Rompin amat cerah. Pas juga barangkali tidak bermimpi mampu membuat kejutan dalam pilihanraya kecil ini, tambahan pula calon BN adalah orang lama yang bukan asing lagi bagi pengundi Rompin. Hasan sebelum ini pernah menjadi Adun, Exco dan Timbalan Menteri Besar Pahang.
Tetapi pilihanraya kecil Rompin ini diadakan ketika suhu politik nasional baru mula menggelegak berikutan serangan dan kritikan bertali arus daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Najib Razak.
Dengan pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan Najib serta penolakan yang kian ketara di mana-mana, Tun Mahathir dengan tegas mahukan Perdaha Menteri ditukar untuk menyelamatkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.
Ditambah dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam hati rakyat, penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan sangat kerana rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik perlaksanaannya.
Sementara kerajaan sebelum ini mengatakan GST akan menurunkan harga barang kerana kadarnya lebih rendah berbanding SST, hakikatnya semua itu tidak menjadi kenyataan. Hampir semua pembelian meningkat harganya, termasuk teh tarik di kebanyakan kedai dinaikkan sebanyak 10 sen dan ditambah dengan GST lagi, propa kononnya akan berlaku penurunan harga nyata palsu belaka.
Lebih dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan kerajaan sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST pada kad prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda, suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan kerajaan amat lemah dan tiada lagi kekuatan.
Oleh yang demikian, pilihanraya kecil Rompin ini ada nilainya yang tersendiri kepada masa depan rakyat. Ia bukan saja untuk pengundi Rompin, tetapi bagi seluruh negara.
Barangkali ternampak mustahil untuk mengharapkan Pas menang dan menewaskan BN. Selain majoriti pada pilihanraya 2013 lalu agak tinggi, Rompin juga memang merupakan kubu kuat BN.
Pengundi bolehlah terus memberi kemenangan kepada BN di Rompin tetapi dalam masa yang sama, mesej mesti dihantar kepada kerajaan iaitu dengan cara mengurangkan sedikit majoriti kemenangannya. Daripada 15,114 majoriti pada 2013 lalu, ia mungkin boleh dikurangkan kepada sekitar 13 ribu atau 12 ribu majoriti undi saja.
Melihat kepada sejarah BN yang pernah menang dengan majoriti hanya 10, 679 pada pilihanraya 2008 lalu, tentulah tidak mustahil bagi pengundi Rompin untuk memberi mesej kepada Najib dan kerajaan dengan cara mengurangkan sedikit majoriti kemenangan BN.
Pentingnya pengundi Rompin menghantar mesej itu ialah untuk memberitahui kerajaan mengenai realiti dan beban yang dihadapi rakyat. Mesej melalui pengurangan majoriti itu bermakna rakyat tidak gembira dengan GST, rakyat tidak suka dengan pembaziran dan pemborosan, rakyat menolak kepimpinan yang lemah serta mahu isu-isu berkaitan 1MDB, Sirul dijawab serta dijelaskan dengan sebaiknya.
Jika tiada mesej, Najib dan kerajaan tidak akan memahaminya dan menganggap rakyat sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukannya, termasuk berbelanja mewah, melakukan pemborosan dan membeli jet sekali pun.
Jika tiada mesej melalui pengurangan majoriti juga, ia akan menyebabkan teguran dan kritikan Tun Mahathir selama ini tidak bermakna lagi. Tun Mahathir mungkin akan berehat di rumah saja selepas ini. Najib tentu saja akan mendabik dada mengatakan beliau terus disokong oleh rakyat di sebalik pelbagai karenah dan onar yang dilakukannya jika majoriti BN terus bertambah di Rompin ini.
Jangan bimbang wahai pengundi Rompin, mesej pengurangan majoriti ini dijamin tiada GST!! ( SH 04/05/2015)