Ramai yang bertanya kenapa sejak akhir-akhir ini ada komen-komen di blog ini yang dipadamkan? Ada juga yang ingin tahu, apakah saya sudah mula menapis dan menghadkan kebebasan?
Sebenarnya saya sangat terbuka kepada sesiapa saja yang ingin memberi komen di blog ini. Sebagaimana saya bebas menulis, saya juga mengalu-alukan kebebasan yang sama di kalangan pembaca. Luahkanlah apa saja, asal dalam batas kesopanan dan kewajaran yang sesuai dengan topik yang saya tulis atau bicarakan.
Tetapi sejak akhir-akhir ini, ada pihak tertentu, rasanya orang asing, yang menjadikan ruang komen yang ada sebagai wadah menjual sesuatu yang haram iaitu nombor ramalan atau judi. Ia tentunya mengganggu keselesaan pembaca blog ini.
Sejujurnya saya masih boleh menerima, selain komen atau pandangan, kalau sesiapa mahu mengiklankan barangan atau perkhidmatan mereka di blog ini. Sebelum ini ada yang mengiklankan kad prabayar, buku dan sebagainya. Saya biarkan saja kerana ia sebahagian daripada keterbukaan itu.
Namun tentu saja mempromosi judi, nombor ramalan atau apa yang dikata togel itu tidak boleh diterima sama sekali. Iklan seperti itu bukan tempatnya di blog saya, lalu semestinya saya akan padam atau delete. Sebelum ini saya anggap iklan seperti itu mungkin tersesat, tapi nampaknya makin dibiarkan makin menjadi-jadi.
Kepada pembaca atau pengomen yang lain, meski menggunakan nama anonymous sekalipun, jangan risau, saya tidak akan padam atau delete selagi komen yang diberi itu berada di landasan yang wajar sebagai medan untuk sama sama meluahkan pandangan atau berhujah sesama kita.
Hanya yang berkaitan judi, haram, togel dan seumpamanya saja yang akan dipadamkan.
Terima kasih. (SH 15/05/2015)