Tanpa berselindung lagi Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengakui isu 1MDB adalah punca utama kegagalan UMNO dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, baru-baru ini.
Katanya, rakyat mahu tahu mengenai perkara itu tetapi beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya ketika berkempen.
“Rakyat mahu tahu, bukan Tun Mahathir saja. Mereka ingin tahu kenapa tiada seorang pun didakwa, mengapa lembaga 1MDB tidak dipecat dan status CEO serta Perdana Menteri sebagai penasihat, ” kata Muhyiddin dari Milan, Italy.
Muhyiddin juga mahukan penjelasan diberikan mengenai pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji kerana pendeposit melihat seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban syarikat pelaburan itu.
Woww…boleh tahan berbisanya suara dari Milan ini!!
Kalau kita masih ingat, ketika mendesak Tun Abdullah berundur lebih awal sebaik pilihanraya 2008 dulu, Muhyiddin juga menyuarakannya dari luar negara iaitu Singapura.
Barangkali sesuai dengan gaya hidup mewah Najib dan Rosmah serta taraf bangsawan mereka, maka kali ini Muhyiddin memilih Milan, sebuah kota fesyen di Italy untuk melontarkan luahan hatinya.
Jika difahami, melalui lontaran suara dari Milan ini, Muhyiddin sebenarnya memberi bayangan bahawa isu 1MDB ini terus menjadi beban yang semakin parah kepada UMNO dan kerajaan. Ia telah memberi natijah kegagalan di Permatang Pauh dan akan terus membawa beban sehingga pilihanraya akan datang.
Dengan pendedahan terbaru di mana Tabung Haji telah membeli sebidang tanah 1MDB dengan harga RM2860 sekaki persegi atau RM188.5 juta sedangkan syarikat pelaburan itu memilikinya daripada kerajaan dengan harga RM60 saja sekaki persegi, isu 1MDB kini menjadi beban yang semakin difahami dan mendatangkan kebimbangan kepada orang Melayu dan umat Islam.
Beban 1MDB dengan isu Tabung Haji ini tidak lagi berlegar di kalangan pengundi bandar dan separa bandar, tetapi sudah menjadi isi bualan kebimbangan di kalangan makcik Felda dan orang Melayu di kampung-kampung.
Tergamaknya menggunakan duit umat Islam untuk menunaikan rukun haji bagi menyelamatkan 1MDB yang diselubungi hutang dan kontroversi tidak lain memberi gambaran bahawa kerajaan sedia ada benar-benar “hamlau” di mata rakyat.
Bagi pandangan umum, ini bukanlah lagi kerajaan yang ingin menjaga kepentingan rakyat, tetapi mempergunakan segala sumber daripada rakyat untuk meneruskan amalan “tutup lubang, gali lubang”.
Mujur juga urusniaga Tabung Haji ini dibocorkan kepada umum, jika tidak, mungkin senyap-senyap ia akan terus disedut licin tanpa disedari oleh sesiapa.
Bagi Muhyiddin, apa yang berlaku ini tentu saja mengecewakannya, malah lebih penting lagi ingatannya sebelum ini agar tiada sebarang usaha menyelamat atau “bail out” diambil untuk memulihkan 1MDB, langsung tidak dihiraukan oleh Najib.
Dengan semakin ramai dalam UMNO dan kerajaan mula bersuara mahukan Najib sendiri memberi penjelasan, bahkan ramai yang meminta urusniaga Tabung Haji dengan 1MDB dibatalkan segera, tidak mustahil suara dari Milan oleh Muhyiddin ini bakal mengulangi apa yang pernah dilakukannya terhadap Tun Abdullah dulu.
Kini Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal, beberapa Pemuda Negeri dan sebilangan Ketua UMNO Bahagian sudah mula bersuara tentang isu 1MDB yang semakin kalut dan membebankan ini. Rata-rata meletakkan beban kepada Najib Razak untuk memberi penjelasan dan tidak lagi bersembunyi di sebalik sikap bisu dan mendiamkan diri.
Apa yang harus dilakukan oleh Muhyiddin selepas ini di ketika rakyat semakin mencurigai dan menjauhi Najib berikutan satu demi satu kecurangan tersembol berkaitan urusniaga 1MDB ini?
Muhyiddin sudah tiada pilihan selain harus tampil sebagai penyelamat dengan segera meminta Najib mengundurkan diri daripada menerajui parti dan kerajaan kerana isu 1MDB ini tidak mungkin mampu dipulihkan lagi. Begitu banyak persoalan lama tidak mampu dijawab dan dijelaskan, timbulnya kaitan dengan Tabung Haji ini membuatkan Najib sebenarnya semakin dibenci oleh rakyat pelbagai lapisan.
Bersama dengan gerakan yang sudah pun dimulakan oleh Tun Mahathir, rakyat tidak melihat ada cara lain lagi kemelut UMNO dan kerajaan ini dapat diatasi dan dipulihkan, melainkan dengan Najib mengundurkan diri secara terhormat atau pun diundurkan dengan paksaan.
Muhyiddin harus terus bersuara dan mendesak sebagaimana keinginan rakyat ketika ini. Dalam masa yang sama, Shafie Apdal, Pemuda UMNO dan lain-lain Ketua Bahagian sudah seharusnya juga meneruskan keberanian melakukan desakan yang serupa kepada Najib.
Asakan demi asakan secara berterusan harus dilakukan terhadap Najib untuk memaksanya berundur kerana sekarang adalah masa untuk menyelamatkan negara. Tiada kompromi lagi dan suara dari Milan tidak seharusnya berakhir begitu saja. (SH 09/05/2015)