Sebagaimana jangkaan ramai, PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun UMNO dan BN berhempas pulas mahu membuktikan kemampuan merampas kawasan itu. Dalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, PKR menang dengan majoriti 8,841 undi menewaskan BN dan dua calon lain.
Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya memperolehi undi sebanyak 30,316 manakala calon BN, Suhaimi Sabudin mendapat 21,475 undi. Dua calon lain itu Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas) masing-masing hanya mendapat 101 dan 367 undi saja.
Walaupun majoriti kemenangan PKR menurun berbanding pilihanraya lalu iaitu sebanyak 11,721 undi ketika Anwar Ibrahim menjadi calon tetapi ianya lebih disebabkan kurangnya peratusan yang turun mengundi. Kali ini peratusannya hanya 73 peratus berbanding 88.3 peratus pada pilihanraya 2013 lalu.
Disebabkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja, ia mungkin antara faktor yang menyebabkan pengundi luar tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka.
Bukan saja undi PKR menurun daripada 37,090 kepada 30,316, perolehan BN juga berkurangan daripada 25,369 kepada 21,475 pada kali ini berbanding pilihanraya 2013 lalu.
Kejayaan PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh ini sekali lagi memberi tamparan kepada UMNO dan BN setelah keputusan mengecewakan di Rompin dua hari lalu. Di ketika Permatang Pauh dilihat kekal sebagai kubu pembangkang, Rompin pula memperlihatkan wujudnya angin perubahan yang ketara.
Ia sekaligus memberi gambaran bahawa kehadiran PR melalui gabungan Pas, PKR dan DAP masih diperlukan oleh rakyat negara ini, bukan saja untuk memberi saingan kepada BN tetapi juga sebagai alternatif dambaan untuk menerajui kerajaan akan datang.
Keputusan dua pilihanraya kecil ini tidak disangkal lagi turut merupakan signal paling jelas bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak semakin ditolak dan kian jauh dari hati rakyat. Diselubungi dengan pelbagai isu dan masalah, terutama 1MDB dan GST, ketiadaan sokongan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad nyata membuatkan kedudukan Najib dalam memimpin kerajaan semakin berada di hujung tanduk.
Penolakan rakyat terhadap UMNO, BN dan kerajaan bukan lagi sekadar berlegar di kalangan pengundi bandar, separa bandar, golongan muda dan mereka yang celik internet, bahkan sudah menerobos ke kawasan Felda dan kampung-kampung yang jauh di pedalaman.
Sebelum ini, UMNO bukan saja ingin menambah majoriti kemenangan di Rompin, malah penuh yakin dapat merampas kembali kerusi Permatang Pauh daripada PKR. Kini, kedua-dua impian dan harapan itu berkecai bersama hadirnya awan mendung yang makin menjadikan kedudukan Najib dan kerajaan kian gelap jadinya.
Dengan kemenangan Dr Wan Azizah ini, beliau hampir pasti akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baru menggantikan Anwar Ibrahim pada sesi Parlimen yang dijadualkan bermula 18 Mei depan.
Sekiranya momentum penolakan rakyat berterusan sehingga pilihanraya akan datang dan Najib pula terus enggan menyerah kalah kepada saranan berundur atau meletakkan jawatan sebagaimana yang sudah banyak kali dilontarkan oleh Tun Mahathir Mohamad, petunjuk daripada Rompin dan Permatang Pauh ini sekaligus memberi harapan lebih cerah kepada PR dalam fasa-fasa mendatang berbanding BN yang diterajui Najib.
Selepas PR memenangi pilihanraya umum akan datang, tidak syak lagi Dr Wan Azizah akan dipilih menjadi Perdana Menteri “interim” sementara menunggu pembebasan Anwar Ibrahim daripada penjara yang bakal diusahakan melalui pengampunan diraja. Jika ini berlaku, tidak berjaya menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini, rupa-rupanya kerusi Perdana Menteri sedang menanti Dr Wan Azizah.
Tidak lama setelah dibebaskan, tentu saja Anwar akan diberikan peluang untuk bertanding di mana-mana pilihanraya kecil bagi membolehkannya menjadi Ahli Parlimen semula dan seterusnya akan dilantik sebagai Perdana Menteri mengggantikan Dr Wan Azizah bagi menghargai jasa dan pengorbanannya sehingga sanggup ke penjara sebelum itu.
Anwar ketika itu akan dianggap sebagai hero dalam memastikan kemenangan PR dan pemenjaraannya telah berjaya merangsang rakyat melakukan perubahan melalui pilihanraya.
Bertahun-tahun UMNO cuba menghalang pendakian Anwar ke kerusi Perdana Menteri, beliau akhirnya mendapat apa yang diidamkannya semata-mata hanya kerana kepimpinan Najib yang terlalu lemah dan banyak masalah telah membuka ruang seluas-luasnya ke arah itu.
Dengan kemungkinan ini, apakah Najib masih mahu bertahan dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian pula ingin terus mengekalkannya sebagai Perdana Menteri? (SH 07/05/2015)